KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah mengarahkan Pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian) pada Jumaat (14 Okt) untuk mengeluarkan Arahan Pembetulan ke atas laman Thailand Medical News, Goh Meng Seng, Goh Meng Seng People's Power Party, dan HardwareZone Forum berhubung kenyataan palsu dan mengelirukan tentang subvarian XBB Covid-19.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) pula telah mengarahkan Pejabat Pofma untuk mengeluarkan Arahan Pembetulan ke atas kiriman Facebook yang diterbitkan oleh Encik Yeoh Lam Keong serta artikel dan kiriman media sosial yang diterbitkan oleh laman web sosiopolitik The Online Citizen (TOC). Artikel dan kiriman media sosial itu mengandungi kenyataan palsu dan mengelirukan mengenai defisit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan rizab lalu Singapura.

Di bawah Arahan Pembetulan itu, ia memerlukan setiap daripada mereka untuk menyertakan satu notis pada catatan asalnya, dengan pautan ke laman penjelasan pemerintah.

Menurut MOH dalam satu kenyataan, keempat-empat pihak telah berkongsi kenyataan palsu dan mengelirukan dalam satu artikel bertajuk, "Berita Terkini! Singapura sedang diserang oleh varian baru SARS-CoV-2 - XBB - dengan jangkitan Covid-19 dan pesakit yang masuk ke hospital meningkat.

Langkah itu diambil selepas MOH mengeluarkan satu kenyataan pada Selasa lalu untuk menyangkal khabar angin yang tersebar di wadah mesej WhatsApp bahawa terdapat peningkatan pesat dan besar dalam kes Covid-19 di Singapura dengan penyakit teruk dan kematian akibat varian XBB.

Pada masa itu, MOH telah menyatakan bahawa ia sedang memulakan tindakan di bawah Pofma dan manipulasi dalam talian terhadap kepalsuan sedemikian.

Dalam kenyataan MOH pada Jumaat, ia merujuk kepada artikel yang disiarkan pada 9 Oktober oleh Thailand Medical News di laman web, laman Facebook, dan akaun Twitter mereka.

Artikel itu juga telah dikongsi di halaman Facebook milik Encik Goh Meng Seng pada 10 Oktober lalu dan juga di forum HardwareZone pada hari yang sama.

Menurut MOH, artikel itu mendakwa bahawa Singapura mengalami kes peningkatan jangkitan dengan penyakit teruk dan kematian akibat varian XBB walaupun bagi mereka yang telah menerima vaksin sepenuhnya. Ia juga mendakwa bahawa rumah mayat, rumah pengebumian, dan tempat membakar mayat menghadapi permintaan yang tinggi.

MOH menyatakan bahawa tuntutan-tuntutan itu adalah palsu. "Tiada bukti subvarian XBB menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian sebelumnya. Malah, data tempatan kami dalam dua minggu lalu menunjukkan bahawa kes XBB dianggarkan mempunyai risiko 30 peratus lebih rendah untuk dimasukkan ke hospital berbanding kes varian Omicron BA.5," tambah kementerian itu.

MOH menyatakan mereka juga tidak melihat sebarang kenaikan pada kes kematian akibat Covid-19 sepanjang bulan lalu. Walaupun Thailand Medical News telah meminda artikel itu, ia, yang pertama kali diterbitkan pada 9 Oktober, telah memberikan gambaran yang salah mengenai situasi Covid-19 di Singapura dan telah diedarkan dalam mesej peribadi dan saluran media sosial yang lain, kata MOH.

MOH menambah bahawa Ini boleh menyebabkan kebimbangan tidak wajar ke atas orang ramai.

MND dalam kenyataannya pada Jumaat pula berkata Encik Yeoh pada 4 Oktober lalu telah menerbitkan dua kiriman Facebook yang secara palsu menyampaikan bahawa HDB tidak akan mengalami kerugian sekitar $270 juta daripada projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Central Weave @ AMK dan pemerintah bebas untuk menjual tanah negara pada harga nominal atau jauh lebih rendah daripada nilai pasaran adilnya.

TOC kemudian mengongsi satu artikel pada hari sama yang mengulangi perkara yang ditimbulkan Encik Yeoh dalam kiriman Facebooknya.

Pada 5 Oktober lalu, TOC menerbitkan artikel kedua bertajuk "Rizab Singapura mendapat keuntungan yang besar daripada jualan tanah $500 juta dalam BTO AMK".

Artikel itu mendakwa bahawa jawapan Menteri Pembangunan Negara di Parlimen merujuk kepada "keuntungan yang diperoleh daripada penjualan tanah oleh pemerintah" dan bahawa "keuntungan tersebut akan pergi ke rizab".

Tajuk berita itu secara palsu menyampaikan bahawa penjualan tanah pemerintah kepada HDB untuk projek BTO AMK akan membawa kepada peningkatan dalam rizab Singapura, kata MND.