Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arkitek ubah suai Masjid Malabar diiktiraf

Dapat ‘Sebutan Khas’ pada acara Anugerah Warisan Seni Bina URA
Nov 8, 2024 | 4:30 PM
Cik Wo Mei Lan, arkitek daripada firma Liu & Wo Architects, berkata ruang kosong di sepanjang laluan awam di luar Masjid Malabar dimanfaatkan dengan menjadikannya galeri penceritaan warisan bagi meningkatkan persekitaran dan berkongsi pengetahuan. Bersama beliau ialah Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Malabar, Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya.
Cik Wo Mei Lan, arkitek daripada firma Liu & Wo Architects, berkata ruang kosong di sepanjang laluan awam di luar Masjid Malabar dimanfaatkan dengan menjadikannya galeri penceritaan warisan bagi meningkatkan persekitaran dan berkongsi pengetahuan. Bersama beliau ialah Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Malabar, Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pasukan di sebalik pemulihan dan pengubahsuaian Masjid Malabar diberi pengiktirafan dengan Sebutan Khas di Anugerah Warisan Seni Bina (AHA) Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 8 November.

Firma arkitek Liu & Wo Architects bekerjasama dengan masjid itu untuk menghasilkan konsep seperti penceritaan warisan pada satu laluan awam di bangunan baru masjid tersebut.

Kerja ubah suai Masjid Malabar di simpang Victoria Street dan Jalan Sultan itu bermula pada Ogos 2020 dan masjid itu dibuka semula pada 2023.

Menurut URA dalam satu kenyataan, masjid berusia 60 tahun itu menerima kunjungan masyarakat sejak ia disiapkan.

AHA diberi oleh URA bagi mengiktiraf monumen yang dipulihkan dengan baik dan bangunan yang dipulihara di Singapura, dan orang di sebalik usaha itu.

Dirasmikan oleh Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, pada 24 Januari 1963, masjid itu menjalani ubah suai besar melibatkan penambahan tapak seluas 592 meter persegi, menjadikan jumlah keluasannya sekitar 1,242 meter persegi, peningkatan ruang solat, penambahan bilik darjah, dan penambahbaikan akses dengan membina lif, cerun, dan tanjakan.

Ketika dihubungi Berita Harian, arkitek pengasas Liu & Wo Architects, Cik Wo Mei Lan, berkata faktor seperti mudah diakses dan keinginan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang sejarah masjid itu diambil kira dalam pembinaan galeri penceritaan warisan di laluan bangunan tambahan barunya.

“Kami memutuskan meletakkan galeri penceritaan warisan di luar masjid itu dan tidak di dalamnya supaya ia dapat dilihat dan orang awam dapat belajar bukan tentang masjid itu sahaja, bahkan sejarah tapaknya apabila mereka melalui kawasan masjid,” kata beliau.

Antara yang bekerjasama mengendalikan kerja ubah suai itu ialah mantan pengerusi Masjid Malabar, Encik Osman Abdullah.

Menurut beliau, galeri penceritaan warisan itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat, terutama pelancong.

“Galeri penceritaan warisan itu merupakan satu wadah untuk mempamerkan dan memelihara tradisi serta sejarah Masjid Malabar dan masyarakat Malabari.

“Ia juga menyediakan platform untuk berkongsi lebih banyak maklumat dan meningkatkan penghargaan terhadap legasi yang ditinggalkan pelopor-pelopor kita kepada masyarakat,” kata Encik Osman, yang kini penasihat kepada Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Malabar.

Seorang anggota LPM itu, Encik Abdul Rahman Hassan, berkata galeri penceritaan warisan itu boleh dijadikan pengajaran, lebih-lebih lagi oleh generasi muda.

“Saya melihat perkembangan masjid ini selama beberapa dekad. Penceritaan warisan ini memainkan peranan penting bagi generasi muda mengenali asal usul mereka dan memahami keadaan masa lalu.

“Cucu-cucu saya sentiasa teruja setiap kali mereka berjalan dan membaca semua pameran warisan tersebut,” katanya.

Bagi Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Malabar, Encik Muhamamd Khairul Jameel Yahya, pengiktirafan Sebutan Khas itu adalah satu penghargaan buat semua pihak yang terlibat.

“Anugerah ini melambangkan kerjasama erat, dedikasi, dan komitmen bukan sahaja daripada Masjid Malabar, malah pelbagai pihak berkepentingan dan profesional yang terlibat, termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Warees Investments Pte Ltd, arkitek, dan konsultan lain.

“Ia memberi motivasi kepada kami untuk mencapai tahap komitmen lebih tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat masjid dalam persekitaran yang lebih baik dan kondusif,” ujar beliau.

URA juga memberi Anugerah bagi Pemuliharaan kepada gereja St Joseph’s di Victoria Street dan Stesen Kereta Api Bukit Timah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg