Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asap selubungi ruang berlepas T1 Lapangan Terbang Changi selepas mesin X-ray terbakar

Aug 6, 2024 | 5:45 PM
Mesin X-ray di ruang berlepas T1 Lapangan Terbang Changi  terbakar akibat kerosakan elektrik.
Mesin X-ray di ruang berlepas T1 Lapangan Terbang Changi terbakar akibat kerosakan elektrik. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO TIKTOK MONTANA & CHRIS

Satu penerbangan ke Bali ditangguhkan kira-kira dua jam, selepas sebuah mesin X-ray terbakar di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 6 Ogos.

Rakaman video yang disiarkan di TikTok menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari mesin tersebut di Pintu D46, sedang orang ramai berdiri sambil memerhati dari jauh.

Penerbangan TR280 Scoot dipaparkan pada skrin berdekatan. Penerbangan itu menuju ke Bali dan dijadualkan berlepas pada 7.10 pagi.

Video itu, yang disiarkan oleh pengguna Montana & Chris, kemudian menunjukkan asap memenuhi sebahagian ruang berlepas sedang penumpang menutup hidung dengan pakaian mereka.

Pemaju hartanah, Encik Chris Hanne, yang dalam perjalanan bersama pasangannya, memberitahu The Straits Times bahawa kejadian itu berlaku sekitar 6.30 pagi.

“Orang ramai terpaksa keluar dari kawasan itu kerana ia semakin sukar untuk bernafas,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

“Asap bergerak sekurang-kurangnya 75 meter di kedua-dua arah terminal. Orang ramai cuba bertahan tetapi gagal berbuat demikian dan ramai yang terbatuk-batuk.”

Kawasan itu tidak lagi berasap sekitar 30 minit kemudian, kata Encik Hanne.

Laman pengesanan penerbangan Flightradar24 menunjukkan bahawa penerbangan itu kemudian berlepas pada 9.15 pagi.

“Kebakaran kecil” itu disebabkan oleh kerosakan elektrik dan api dipadamkan dengan segera oleh dua pekerja lapangan terbang, kata jurucakap Changi Airport Group.

Penumpang yang terjejas telah dipindahkan ke kawasan menunggu lain, untuk menaiki pesawat, kata jurucakap itu, sambil menambah tiada sesiapa yang cedera akibat kebakaran tersebut.

Jurucakap Scoot berkata pelanggan yang terjejas telah disediakan dengan minuman dan bantuan akan diberikan kepada mereka, jika perlu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg