Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asatizah hasil kursus pembelajaran dakwah, cara libat masyarakat secara elektronik

Mar 4, 2024 | 7:21 PM
Ustaz Ahmad Arifin Muhamad Ekhsan memberikan ucapan ‘valedictorian’ beliau semasa majlis tamat program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) pada 2 Mac.
Ustaz Ahmad Arifin Muhamad Ekhsan memberikan ucapan ‘valedictorian’ beliau semasa majlis tamat program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) pada 2 Mac. - Foto oleh MUIS

Ustaz Ahmad Arifin Muhamad Ekhsan yang mengambil jurusan pengajian Al-Quran dan Sunnah dari
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah mengetuai pasukannya untuk menghasilkan kursus pembelajaran dalam talian mengenai dakwah dan cara melibatkan masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada projek ‘capstone’, atau projek akhir bagi asatizah yang ingin menamatkan program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), Ustaz Ahmad Arifin bersama pasukannya yang terdiri daripada enam asatizah termasuk dirinya telah memilih untuk menghasilkan kursus dalam talian yang dapat diakses dengan mudah.

Antara perkara yang termasuk dalam kursus itu adalah kepentingan untuk para asatizah memahami kumpulan sasaran mereka, serta beberapa peringatan dan kursus ulang kaji atau ‘refresher course’ mengenai dakwah.

“Kursus itu disasarkan untuk asatizah yang baru, namun ia boleh digunakan oleh asatizah secara umum,” jelas Ustaz Ahmad Arifin kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut menambah: “Pasukan saya memasukkan maklumat tentang organisasi tempatan seperti PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) yang sesuai juga untuk asatizah berdakwah.

“Turut didapati dalam kursus elektronik ini adalah pelbagai cara untuk melibatkan masyarakat, yang bukan hanya di masjid atau institusi Islam, malah asatizah juga dapat menggunakan wadah media sosial.”

Kursus pembelajaran dalam talian itu dapat dibangunkan lagi agar dapat menyokong wadah utama pendidikan profesional berterusan asatizah.

Ustaz Ahmad Arifin telah dipilih sebagai ‘valedictorian’ antara 55 asatizah yang menamatkan sijil PCICS pada 2023.

Berucap di majlis tamat pengajian PCICS pada 2 Mac di Hab Islam Singapura, beliau berkata:

“PCICS telah menyedarkan saya bahawa jika seseorang ingin menjadi seorang pendidik atau pemimpin agama yang berkesan, ia memerlukan seseorang itu untuk terus menimba ilmu dan kebijaksanaan sepanjang hayatnya.”

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman; dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.

PCICS pertama diumumkan semasa Jawatankuasa Perbekalan 2019 sebagai program wajib yang dipertingkatkan untuk calon asatizah untuk diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

PCICS akan melengkapkan lulusan yang kembali ke Singapura dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berkhidmat dalam sektor agama dan mendalami pemahaman mereka tentang cara Islam boleh diterapkan dengan berkesan dalam konteks Singapura.

Secara keseluruhan, 188 asatizah telah menamatkan PCICS sejak program ini bermula pada 2020.

“Turut didapati dalam kursus elektronik ini adalah pelbagai cara untuk melibatkan masyarakat, yang bukan hanya di masjid atau institusi Islam, malah asatizah juga dapat menggunakan wadah media sosial.”
Ustaz Ahmad Arifin Muhamad Ekhsan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg