IRSYAD yang dikeluarkan Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kelmarin untuk memberikan panduan agama tentang vaksin Covid-19 adalah penting dan akan memberikan keyakinan kepada masyarakat Islam terhadap penggunaannya, menurut beberapa asatizah.
Asatizah yang dihubungi Berita Harian itu juga melahirkan harapan agar masyarakat merujuk kepada sumber yang sahih, seperti irsyad yang dikeluarkan, sekiranya mereka ragu-ragu tentang vaksin itu.
Kelmarin, Muis menyatakan dalam irsyad itu bahawa vaksin Covid-19 boleh digunakan masyarakat Islam kerana tujuan memperkenalkan vaksin itu dan proses penghasilannya secara dasar berlandaskan prinsip dan nilai-nilai syariat Islam.
Ia menambah bahawa pendekatan lebih menyeluruh perlu diambil dalam panduan agama berhubung vaksin Covid-19 dan "bukan hanya tertumpu kepada isu halal atau haram bahan-bahan yang digunakan sahaja".
Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata panduan agama dalam isu vaksin itu adalah satu kemajuan dalam institusi fatwa di Singapura dalam cara mereka menangani wabak Covid-19 sejak awal tahun ini.
"Ini menunjukkan keberanian ulama kita di Singapura dalam memberikan panduan berdasarkan situasi darurat dan keperluan mendesak. Justeru, dengan isu panduan agama ini, ia bukan hanya sesuatu yang baik tetapi penting, kerana ia memberikan keyakinan kepada masyarakat Islam tentang penggunaan vaksin ini terutamanya dari segi hukum halal dan haramnya.
"Saya juga rasa panduan yang dikeluarkan Muis adalah satu keperluan yang asas kerana tiada jalan untuk menyelesaikan atau merawat wabak Covid-19 ini melainkan dengan kewujudan vaksin yang dikeluarkan," kata beliau.
Anggota Muis dan Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata kesan Covid-19 sangat mendalam, dan ia menjejas nyawa serta menyebabkan kemudaratan, termasuk dari segi kegiatan harian, ekonomi dan pekerjaan.
Justeru, dalam syariah Islam, adalah perlu untuk menjaga perkara tersebut dan ini dipanggil maqasid syariah atau tujuan utama perundangan Islam, tambahnya.
"Cara yang ada sekarang ini adalah dengan mengambil vaksin untuk menolak penularan Covid-19. Maka dalam Islam sendiri kita ada kaedah yang mengatakan bahawa kalau nak mencapai perkara yang wajib dengan sesuatu perkara yang lain, maka perkara yang lain itu menjadi wajib.
"Dalam hal ini, untuk memelihara nyawa adalah wajib, untuk menolak kemudaratan adalah wajib. Kita tidak dapat mencapai perkara tersebut melainkan mengambil vaksin. Maka mengambil vaksin tersebut adalah wajib," kata beliau.
Seorang lagi Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Kamal Mokhtar, pula menarik perhatian bahawa Muis sebelum ini telah mengeluarkan fatwa-fatwa berkaitan perubatan dan vaksin untuk menangani keprihatinan tentang bahan-bahan yang digunakan pada ubat-ubatan dan vaksin tersebut.
Misalnya, pada 2013, ia mengeluarkan fatwa menyatakan vaksin Rotavirus yang mengandungi bahan terlarang dibenarkan penggunaannya demi keselamatan anak-anak.
Beliau juga menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang diterima tentang vaksin Covid-19.
"Dalam perkongsian WhatsApp yang saya terima, ada sesetengah orang yang antivaksin, tidak mahu ambil vaksin dan mengatakan ia adalah konspirasi dan akan menyebabkan penyakit lain...Itu merisaukan saya," kata beliau.
Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman, yang pernah menghidapi Covid-19 sendiri, berkata pencegahan daripada bahaya dan kemudaratan adalah antara dasar pengajaran Islam.
Oleh sebab beliau sendiri pernah merasakan sakitnya serangan virus itu, beliau secara peribadi akan menggalakkan anggota keluarga dan kenalannya untuk mengambil vaksin itu apabila tersedia kelak.
Namun, beliau melahirkan kebimbangan tentang kesan sampingan yang boleh timbul daripada vaksin.
"Saya pasti akan membaca, mengkaji tentang vaksin ini dahulu dan berharap bahawa vaksin yang bakal disampaikan akan diberikan keterangan yang menyeluruh oleh pihak pemerintah. Mungkin masyarakat dapat memberikan kesempatan terhadap vaksin ini dan jika mempunyai keraguan, sila dapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang benar," kata beliau.
"Panduan agama dalam isu vaksin itu adalah satu kemajuan dalam institusi fatwa di Singapura dalam cara mereka menangani wabak Covid-19 sejak awal tahun ini. Ini menunjukkan keberanian ulama kita di Singapura dalam memberikan panduan berdasarkan situasi darurat dan keperluan mendesak." - Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa Ustaz Dr Mohamed Ali
"Dalam hal ini, untuk memelihara nyawa adalah wajib, untuk menolak kemudaratan adalah wajib. Kita tidak dapat mencapai perkara tersebut melainkan mengambil vaksin. Maka mengambil vaksin tersebut adalah wajib." - Anggota Muis dan Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg