Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean 2027: Ujian kepimpinan S’pura di ambang jubli intan
Asean 2027: Ujian kepimpinan S’pura di ambang jubli intan
Tukul pengerusi diserahkan secara rasmi daripada tangan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, kepada tangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di atas pentas, diiringi tepukan gemuruh oleh para hadirin di majlis penutup Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina.
Penyerahan simbolik itu sekali gus menandakan bermulanya giliran Singapura menerajui blok serantau itu pada 2027.
Namun, tahun 2027 istimewa bukan hanya kerana Singapura menyandang jawatan pengerusi Asean, tetapi kerana ia juga tahun kritikal bagi Asean yang bakal menyambut jubli intannya – iaitu ulang tahun ke-60 pembentukan blok serantau itu.
Walaupun angka tersebut melambangkan kematangan sebuah institusi serantau yang bertahan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang enam dekad lalu, hakikatnya, masih ada pelbagai isu yang belum terlerai.
Ini ditambah pula dengan cabaran kemelut geopolitik dan ekonomi yang kian meruncing.
Berlatarbelakangkan ini, tema kepengerusian yang dibawa oleh Singapura – ‘Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas’ – tampil tepat pada masanya sebagai respons menghadapi dunia yang semakin berubah di mana persaingan kuasa besar semakin memuncak dan perintah ekonomi global yang semakin berpecah-belah.
Encik Wong telah dengan jelas menggariskan bahawa kedua-dua matlamat tema itu saling melengkapi: sebuah Asean yang lebih bersepadu akan menjadi rakan kongsi yang bernilai buat dunia, manakala jaringan kerjasama yang lebih luas akan mencipta peluang baharu.
Namun begitu, jalan untuk menterjemahkan tema tersebut menjadi realiti tidak begitu mudah.
Sepanjang 2026, Filipina di bawah pimpinan Presiden, Encik Ferdinand Marcos Jr, telah menggalas tanggungjawabnya selaku pengerusi Asean dengan berkesan, dengan mereka berjaya mengemudi blok serantau ini mengharungi tahun yang sukar.
Ini termasuk dalam mencapai beberapa hasil positif seperti pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) di peringkat serantau.
DEFA – perjanjian ekonomi digital bersejarah yang dimuktamadkan selepas rundingan tiga tahun – akan menjadikan perniagaan lebih mudah menjalani urus niaga dan beroperasi merentasi rantau ini dengan menetapkan peraturan bersama, justeru melancarkan perdagangan digital dan aliran data yang dipercayai.
Ia dijangka menggandakan ekonomi digital rantau ini daripada AS$1 trilion ($1.29 trilion) kepada AS$2 trilion menjelang 2030.
Namun, tidak semua matlamat jangka panjang dapat dicapai, sekali gus meletakkan tekanan tambahan ke atas bahu Singapura yang kini tiba gilirannya menjadi pengerusi Asean.
Antara yang menjadi tumpuan adalah rundingan Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Walaupun Asean dan China telah mencapai perjanjian sementara melibatkan sekitar 80 peratus teks draf COC yang sekian lama dinantikan, ia bagaimanapun tidak mencapai sasaran awal untuk memuktamadkan rundingan pada 2026.
Antara lain, isu krisis domestik Myanmar juga belum menemui penyelesaian.
Pemimpin negara Asia Tenggara telah menyatakan mereka mungkin mempertimbangkan untuk mengembalikan perwakilan politik penuh Myanmar secara berperingkat dalam Asean, sekiranya negara itu membuat kemajuan yang berterusan dan konkrit dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menangani krisis berkenaan.
Dalam konteks kemampanan alam sekitar pula, isu pencemaran jerebu rentas sempadan – satu kemelut bermusim yang terus menjadi masalah kepada kesihatan awam dan kerancakan ekonomi rantau ini – dijangka terus menjadi topik penting.
Apabila Singapura secara rasminya mengambil alih teraju pada 2027, negara ini perlu berhadapan dengan pelbagai isu yang belum terlerai ini.
Pertama sekali, berhubung krisis di Myanmar, Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dirangka sebelum ini hampir tidak membuahkan sebarang hasil substantif dalam menghentikan konflik di sana.
Kedua, kegagalan memuktamadkan COC bermakna risiko pertembungan maritim antara negara-negara penuntut seperti Filipina dan Vietnam dengan China akan terus menjadi ‘titik nyala’ (flashpoint) yang mengancam kestabilan.
Ketiga, rantau ini terus terjejas oleh persaingan geopolitik Amerika Syarikat dan China, yang mendesak negara-negara anggota untuk membuat pilihan dan memihak.
Di sinilah letaknya ujian sebenar bagi kepimpinan Singapura.
Sebagai negara anggota tanpa sebarang tuntutan di Laut China Selatan (non-claimant state), Singapura mengekalkan hubungan yang seimbang dan membina dengan kedua-dua negara jiran Asean dan China, dan oleh itu, berada pada kedudukan unik untuk bertindak sebagai ‘orang tengah yang jujur’ (honest broker).
Singapura boleh memberi tumpuan utama pada usaha mempermudahkan rundingan untuk merapatkan baki jurang 20 peratus persetujuan COC tersebut demi memastikan ia diikat kuat dengan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).
Namun, kekuatan sebenar Singapura terletak pada kelangsungan dan pragmatisme ekonominya.
Menyedari bahawa merungkai benang kusut politik memerlukan masa, Singapura dijangka akan menggunakan kepengerusiannya untuk menumpukan Asean kepada kemenangan ekonomi.
Di Sidang Kemuncak Asean ke-49 dan sidang-sidang berkaitan di Manila, Encik Wong terus memperjuangkan langkah menegakkan perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berteraskan peraturan sebagai menentang persaingan ekonomi yang kian sengit.
Bagi merealisasikan wawasan ini, Encik Wong telah mengajak negara anggota Asean dan rakan-rakan kongsinya untuk memanfaatkan penggunaan instrumen perdagangan sedia ada seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) – iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia, yang merangkumi kira-kira 30 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat dan kira-kira satu pertiga penduduk dunia.
Langkah memperkukuh penyepaduan rentas sempadan ini adalah amat penting untuk mengurangkan kesan daripada perpecahan rantaian bekalan dan persaingan ekonomi yang semakin meningkat.
Selain itu, dalam menangani cabaran masa hadapan, keutamaan juga harus ditumpukan ke arah membina daya tahan struktur rantau ini, termasuk dalam bidang yang sedang pesat berkembang seperti ekonomi hijau dan digital, jaminan tenaga serantau, serta jaminan makanan – sesuatu yang turut ditekankan Encik Wong dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Asean ke-49.
Singapura mungkin tidak dapat meleraikan segala kemelut yang melanda Asean dalam tempoh dua belas bulan ia menggalas jawatan pengerusi blok serantau ini.
Krisis lebih rumit, umpamanya krisis di Myanmar, tentu sekali akan memerlukan lebih banyak masa, komitmen serta keikhlasan dalaman daripada pihak berkonflik itu sendiri.
Namun, kepimpinan Singapura mampu menetapkan hala tuju baru yang pragmatik.
Harapannya adalah Singapura mampu mengemudi blok serantau ini daripada sebuah ‘medan perbincangan’ kepada sebuah ‘kubu perdagangan’ yang menolak perpecahan global dan bertindak balas dengan langkah-langkah nyata dan konkrit, sekali gus memartabatkan kedudukan Asean di pentas dunia.