Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean 2027: Ujian kepimpinan S’pura di ambang sambutan jubli intan
Di sebalik isu tertonggak seperti krisis Myanmar dan jerebu rentas sempadan, S’pura berpeluang pacu hala tuju pragmatik blok serantau – daripada ‘medan perbincangan’ kepada ‘kubu perdagangan’, tolak perpecahan sejagat
Asean 2027: Ujian kepimpinan S’pura di ambang sambutan jubli intan
Tukul pengerusi diserahkan secara rasmi oleh Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, ke tangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di atas pentas, diiringi tepukan gemuruh hadirin pada majlis penutup Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina.
Penyerahan simbolik itu sekali gus menandakan bermulanya giliran Singapura menerajui blok serantau itu pada 2027.
Namun, tahun 2027 istimewa bukan hanya kerana Singapura menyandang jawatan pengerusi Asean, tetapi kerana ia juga tahun kritikal bagi Asean yang bakal menyambut jubli intannya – iaitu ulang tahun ke-60 pembentukan blok serantau itu.
Walaupun angka tersebut melambangkan kematangan sebuah institusi serantau yang bertahan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang enam dekad, hakikatnya, masih ada pelbagai isu yang belum terlerai.
Ini ditambah pula dengan cabaran kemelut geopolitik dan ekonomi yang kian meruncing.
Berlatarbelakangkan ini, tema kepengerusian yang dibawa oleh Singapura – Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas – tampil tepat pada masanya.
Ia sebagai tindak balas dalam menghadapi dunia yang semakin berubah tatkala persaingan kuasa besar kian memuncak dan peraturan ekonomi sejagat semakin berpecah belah.
Encik Wong telah dengan jelas menggariskan bahawa kedua-dua matlamat tema itu saling melengkapi: sebuah Asean yang lebih bersepadu akan menjadi rakan kongsi yang bernilai buat dunia, manakala jaringan kerjasama yang lebih luas akan mencipta peluang baharu.
Namun begitu, jalan untuk menterjemahkan tema tersebut merupakan realiti yang tidak begitu mudah.
Sepanjang 2026, Filipina di bawah pimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr, berjaya menggalas tanggungjawab selaku pengerusi Asean dengan berkesan dalam mengemudi blok serantau ini mengharungi tahun yang mencabar
Ini termasuk dalam mencapai beberapa hasil positif seperti pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) di peringkat serantau.
DEFA – perjanjian ekonomi digital bersejarah yang dimuktamadkan selepas rundingan tiga tahun – akan memudahkan perniagaan berurus niaga dan beroperasi merentasi rantau ini menerusi penetapan peraturan bersama, sekali gus melancarkan perdagangan digital serta aliran data yang dipercayai.
Dengan itu, ia dijangka menggandakan ekonomi digital rantau ini daripada AS$1 trilion ($1.29 trilion) kepada AS$2 trilion menjelang 2030.
Namun, tidak semua matlamat jangka panjang dapat dicapai, sekali gus meletakkan tekanan tambahan di bahu Singapura yang kini mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean.
Antara yang menjadi tumpuan ialah rundingan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Walaupun Asean dan China telah mencapai perjanjian sementara melibatkan sekitar 80 peratus teks draf COC yang sekian lama dinantikan, ia bagaimanapun tidak mencapai sasaran awal untuk memuktamadkan rundingan pada 2026.
Antara lain, isu krisis domestik Myanmar juga belum menemui penyelesaian.
“Pemimpin Asia Tenggara menyatakan mereka mungkin menimbangkan untuk mengembalikan perwakilan politik penuh Myanmar dalam Asean secara berperingkat jika negara itu menunjukkan kemajuan berterusan dan membina dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menangani krisis berkenaan.
Dalam konteks kemampanan alam sekitar pula, isu pencemaran jerebu rentas sempadan – satu kemelut bermusim yang terus menjadi masalah kepada kesihatan awam dan kerancakan ekonomi rantau ini – dijangka terus menjadi topik penting.
Apabila Singapura secara rasmi mengambil alih teraju pada 2027, negara ini perlu berhadapan dengan pelbagai isu yang belum terlerai ini.
Pertama sekali, berhubung krisis di Myanmar, 5PC yang dirangka sebelum ini hampir tidak membuahkan sebarang hasil substantif dalam menghentikan konflik di sana.
Kedua, kegagalan memuktamadkan COC bermakna risiko pertembungan maritim antara negara-negara yang membuat tuntutan seperti Filipina dan Vietnam dengan China akan terus menjadi ‘titik nyala’ yang mengancam kestabilan.
Ketiga, rantau ini terus terjejas oleh persaingan geopolitik Amerika dan China, yang mendesak negara anggota agar membuat pilihan dan memihak.
Di sinilah letaknya ujian sebenar bagi kepimpinan Singapura.
Sebagai negara anggota tanpa sebarang tuntutan di Laut China Selatan, Singapura mengekalkan hubungan yang seimbang dan membina dengan kedua-dua negara jiran Asean dan China, dan oleh itu, berada pada kedudukan unik untuk bertindak sebagai ‘orang tengah yang jujur’ atau honest broker.
Singapura boleh memberi tumpuan utama pada usaha mempermudahkan rundingan untuk merapatkan baki jurang 20 peratus persetujuan COC tersebut demi memastikan ia teguh berlandaskan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).
Namun, kekuatan sebenar Singapura terletak pada kelangsungan dan pragmatisme ekonominya.
Menyedari bahawa merungkai benang kusut politik memerlukan masa, Singapura dijangka memanfaatkan kepengerusiannya untuk memacu Asean ke arah pencapaian ekonomi yang nyata.
Di Sidang Kemuncak Asean ke-49 dan sidang-sidang berkaitan di Manila, Encik Wong terus memperjuangkan langkah menegakkan perdagangan pelbagai hala yang terbuka berteraskan peraturan bagi menentang persaingan ekonomi yang kian sengit.
Untuk erealisasikan wawasan itu, Encik Wong mengajak negara anggota Asean dan rakan-rakan kongsi agar memanfaatkan penggunaan instrumen perdagangan sedia ada seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) – iaitu Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia, yang merangkumi kira-kira 30 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat dan kira-kira satu pertiga penduduk dunia.
Langkah memperkukuh penyepaduan rentas sempadan ini amat penting bagi mengurangkan kesan daripada perpecahan rantaian bekalan dan persaingan ekonomi yang kian meningkat.
Selain itu, dalam menangani cabaran masa hadapan, keutamaan juga harus ditumpukan ke arah membina daya tahan struktur rantau ini, termasuk dalam bidang yang sedang pesat berkembang seperti ekonomi hijau dan digital, jaminan tenaga serantau, serta jaminan makanan – sesuatu yang turut ditekankan Encik Wong dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Asean ke-49.
Singapura mungkin tidak dapat meleraikan segala kemelut yang melanda Asean dalam tempoh 12 bulan ia menggalas jawatan pengerusi blok serantau ini.
Isu lebih rumit, umpamanya krisis di Myanmar, tentu sekali akan memerlukan lebih banyak masa, komitmen serta keikhlasan dalaman daripada pihak yang bertelagah itu sendiri.
Namun, kepimpinan Singapura mampu menetapkan hala tuju baru yang pragmatik.
Harapannya ialah Singapura mampu mengemudi blok serantau ini daripada sekadar ‘medan perbincangan’ kepada ‘kubu perdagangan’ yang menolak perpecahan sejagat serta bertindak balas dengan langkah nyata dan membina, sekali gus memartabatkan kedudukan Asean di pentas dunia.