Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asean perlu pertahan toleransi sifar terhadap dadah: Faishal

Aug 17, 2023 | 2:23 PM
KERJASAMA SERANTAU KRITIKAL: Dr Faishal ibrahim (depan berdiri) menyampaikan kenyataan negara sebagai wakil Singapura di Mesyuarat Menteri-menteri Asean ke-8  tentang perlunya Asean mempertahan pendirian toleransi sifar terhadap dadah.
KERJASAMA SERANTAU KRITIKAL: Dr Faishal ibrahim (depan berdiri) menyampaikan kenyataan negara sebagai wakil Singapura di Mesyuarat Menteri-menteri Asean ke-8  tentang perlunya Asean mempertahan pendirian toleransi sifar terhadap dadah. - Foto FACEBOOK PROFESOR MADYA MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan peri pentingnya negara-negara Asean sebulat suara pertahankan pendirian toleransi sifar terhadap dadah.

Beliau, yang mewakili Singapura di Mesyuarat Menteri Asean ke-8 mengenai Isu Dadah pada 11 Ogos lalu, berkata adalah amat penting bagi Asean untuk bekerja rapat demi melindungi rantau ini dan negara-negara Asean daripada ancaman dadah.

Mesyuarat di Vientiane, Laos, itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Awam Laos, Encik Pol Jen Vilay Lakhamphong.

Ia merupakan platform pelbagai hala untuk membincangkan kerjasama serantau mengenai isu-isu dadah.

Semasa di Laos, Dr Faishal telah menyampaikan kenyataan negara yang antara lain menyerlahkan trend penyalahgunaan ganja yang membimbangkan dan dasar kawalan dadah yang semakin liberal yang bertentangan dengan pendirian toleransi sifar Asean terhadap dadah.

“Kita bimbang generasi muda kita mungkin mengambil sikap sambil lewa terhadap dadah.

“Bagi penyalah guna baru, ganja ialah dadah kedua paling kerap disalahgunakan di Singapura.

“Mereka salah menganggap ganja sebagai dadah yang kurang berbahaya dan kurang menyebabkan ketagihan, ekoran gambaran glamor ganja yang digambarkan dalam media sosial,” kata Dr Faishal.

Beliau juga menekankan pentingnya Asean bekerjasama dengan negara-negara lain di luar rantau ini yang berkongsi pandangan serupa mengenai bahaya dadah.

Kebelakangan ini, katanya, semakin banyak negara menyokong dasar kawalan dadah yang lebih liberal seperti tidak menjadikan penyalahgunaan dadah sebagai satu kesalahan undang-undang dan mahukan pendirian ini menjadi lebih diterima.

“Dasar-dasar ini bertentangan dengan pendirian toleransi sifar Asean terhadap dadah.

“Oleh itu, sudah tiba masanya Asean memikirkan untuk menyampaikan kenyataan bersama pada Segmen Tahap Tinggi CND (Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah Narkotik) ke-67 pada 2024,” ujar Dr Faishal.

Dalam satu kiriman di Facebook, Dr Faishal berkata kerjasama serantau adalah “kritikal” dalam menentang dadah.

Beliau turut menegaskan komitmen Singapura bekerjasama dengan negara Asean lain untuk memastikan rantau ini bebas dadah menerusi kerjasama aktif dalam operasi bersama dan siasatan terhadap sindiket pengedaran dadah, pembinaan kapasiti dan perkongsian amalan terbaik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg