Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean tandatangani Perjanjian Rangka Kerja Ekon Digital, kuat kuasa awal 2027
Asean tandatangani Perjanjian Rangka Kerja Ekon Digital, kuat kuasa awal 2027
MANILA: Negara-negara anggota Asean telah menandatangani satu perjanjian ekonomi digital yang bersejarah dan sedang berusaha melancarkan projek pertama di bawah pakatan tersebut bagi memberi manfaat kepada perniagaan serta pengguna pada awal 2027, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura, Encik Gan Kim Yong.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) itu ditandatangani oleh negara-negara anggota Asean di Manila, Filipina pada 14 November, susulan rundingan yang bermula sejak September 2023.
Ditemui media selepas majlis menandatangani perjanjian itu, Encik Gan berkata projek keutamaan di bawah pakatan tersebut mungkin merangkumi sistem pembayaran digital, identiti digital bagi perniagaan dan dokumentasi perdagangan elektronik, yang akan menjadikan urus niaga rentas sempadan lebih pantas, mudah dan menjimatkan kos.
“Kami berharap menjelang waktu perjanjian ini berkuat kuasa, kami sudah bersedia dengan beberapa inisiatif dan projek yang boleh dimulakan untuk memberi manfaat kepada perniagaan serta rakyat kita,” kata beliau kepada para wartawan.
“Saya berpendapat ini adalah keterhubungan digital untuk menghubungkan Asean dengan lebih baik antara satu sama lain. Ini melengkapi keterhubungan fizikal yang telah kita usahakan selama ini – seperti daya tahan rantaian bekalan, keterhubungan perkapalan dan sebagainya,” kata Encik Gan di luar mesyuarat Majlis Masyarakat Ekonomi Asean ke-28 di Manila.
Beliau turut menyentuh dua keutamaan ekonomi utama Singapura apabila mengambil alih jawatan pengerusi Asean dari Filipina pada 2027, iaitu memperdalam penyepaduan dalam Asean serta memperluas kerjasama dengan rakan-rakan luar.
Sejajar dengan itu, beliau memaklumkan bahawa Asean telah mencatat kemajuan ke arah memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan Kanada, dengan ia disasarkan ditandatangani pada 2027.
Ekonomi digital Asean diunjurkan mencecah AS$368 bilion ($474 bilion) pada 2026 dan melebihi AS$1 trilion menjelang 2035, menurut laporan oleh Google, Temasek dan Bain & Company yang dipetik oleh Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) Singapura.
DEFA, yang merupakan perjanjian ekonomi digital kendiri pertama blok itu yang mengikat di sisi undang-undang, menetapkan peraturan bersama merangkumi perdagangan digital, aliran data rentas sempadan, pembayaran elektronik, keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
Perjanjian itu akan berkuat kuasa 180 hari selepas ditandatangani, sekali gus menggantikan Perjanjian Perdagangan Elektronik Asean 2019, menurut METI dalam satu kenyataan pada 14 November.
Mengulas lanjut mengenai manfaat DEFA, Encik Gan berkata dokumentasi perdagangan elektronik dapat membantu syarikat mengurangkan kerja kertas, mempercepatkan urus niaga dan menurunkan kos pentadbiran.
“Ia akan memudahkan, mempercepatkan serta mengurangkan kos bagi dokumentasi perdagangan,” kata beliau.
Beliau berkata perjanjian itu juga dapat menjadikan pembayaran digital lebih lancar, baik bagi pengguna yang membuat pembelian rentas sempadan mahupun syarikat yang menjalankan urus niaga antara perniagaan.
Encik Gan menambah bahawa identiti digital akan membantu perniagaan mengesahkan pihak yang berurusan dengan mereka, manakala peraturan pemindahan data rentas sempadan yang lebih jelas dapat memudahkan syarikat berkembang ke pasaran Asean yang lain.
Perjanjian tersebut turut memperkukuh kerjasama dalam perlindungan data, keselamatan siber serta usaha membanteras penipuan dalam talian.
Encik Gan mengakui bahawa pelaksanaan DEFA akan menjadi mencabar kerana negara-negara Asean mempunyai tahap prasarana digital, peraturan dan kesediaan perniagaan yang amat berbeza.
Bagi menangani perbezaan ini, perjanjian tersebut membolehkan negara-negara yang sudah bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan inisiatif tertentu, sambil membuka pintu kepada negara lain untuk menyertainya kemudian.
“Fleksibiliti ini membolehkan Asean bergerak maju bukan mengikut rentak anggota yang paling perlahan, sebaliknya membolehkan kita mara mengikut keupayaan masing-masing,” kata beliau.
Sebagai contoh, negara yang bersedia memudahcarakan aliran data rentas sempadan dalam sektor tertentu boleh bekerjasama terlebih dahulu, tertakluk kepada perlindungan berkaitan privasi, kerahsiaan perniagaan dan keselamatan negara.
Encik Gan berkata para pegawai sedang merangka pelan pelaksanaan bagi memastikan perniagaan dapat meraih manfaat daripada perjanjian itu dengan lebih awal.
Beliau menegaskan bahawa pemerintah juga perlu mendekati sektor swasta, khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME), serta melabur dalam latihan kemahiran bagi memastikan perniagaan dan pekerja bersedia secara digital.
Perniagaan Singapura mengalu-alukan perjanjian itu, namun berkata kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Ukuran kejayaan utama adalah apa yang dialami oleh perniagaan di lapangan,” kata Ketua Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon.
Beliau berkata syarikat-syarikat mahu melihat pengurangan kerja kertas di sempadan, pembayaran digital yang lebih lancar serta aliran data yang dipercayai bagi memudahkan operasi di seluruh Asean.
Encik Gan turut meredakan kebimbangan bahawa penyepaduan serantau yang lebih besar boleh mendedahkan perniagaan kecil Singapura kepada persaingan lebih sengit daripada rakan niaga di Asean.
Beliau berhujah bahawa ekonomi negara-negara Asean sebahagian besarnya saling melengkapi, dan integrasi digital yang lebih rapat akan membantu syarikat bersaing dengan lebih berkesan menentang perniagaan di bahagian dunia yang lain.
“Masa depan dan nasib kita saling berkait,” kata beliau, sambil menekankan bahawa ekonomi Singapura amat bergantung kepada pertumbuhan rantau yang lebih luas.
Mengenai jawatan pengerusi Asean yang akan diambil alih Singapura pada 2027 pula, Encik Gan menghuraikan dua keutamaan ekonomi utamanya, iaitu memperkukuh penyepaduan dalam kalangan 11 negara anggota dan memperluas kerjasama dengan rakan-rakan luar.
“Walaupun ekonomi global semakin berpecah-belah, kami mahu Asean kekal bersepadu,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa penyepaduan yang lebih erat akan memberi isyarat penting bahawa Asean kekal terbuka untuk perniagaan meskipun berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat.
Selain melaksanakan DEFA, Singapura berharap dapat memajukan usaha ke arah cadangan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Hijau Asean.
Encik Gan berkata para menteri telah menerima kemas kini awal yang memberangsangkan mengenai kajian kebolehlaksanaan yang bertujuan mengenal pasti bidang kerjasama dalam kemampanan dan kegiatan ekonomi hijau.
Asean berharap dapat melengkapkan kajian tersebut sebelum mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk dirundingkan pada 2027.
Blok serantau itu juga sedang berusaha menguatkuasakan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) yang dinaik taraf menjelang akhir 2026, lebih awal daripada yang dirancang sebelum ini.
Bagi kerjasama ekonomi luar, Singapura akan berusaha memperkukuh hubungan Asean dengan rakan-rakan termasuk Kesatuan Eropah (EU), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan negara anggota Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).
Encik Gan turut memuji Filipina kerana berjaya memajukan agenda ekonomi Asean sepanjang tempoh kepengerusiannya, sambil menambah bahawa Singapura akan mengambil alih teraju kepimpinan dalam “keadaan yang sangat baik” sedang blok itu menyambut ulang tahun ke-60 pada 2027.