Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asia perlu kukuh tindakan jangka panjang demi jamin masa depan: See Leng

Tiga bidang boleh tentu pertumbuhan jangka panjang Asia - manfaat pertumbuhan Asia, perubahan iklim dan pendigitalan
Nov 2, 2022 | 5:30 AM
TETAP OPTIMIS: Dr Tan See Leng (kiri) melahirkan rasa optimis akan masa depan Asia walau banyak cabaran mendatang semasa Sidang Puncak Masa Depan Asia The Straits Times 2022 di Pusat Konvensyen Raffles City semalam. Bersama beliau adalah Editor Rencana ST, Cik Grace Ho. - Foto BH oleh FELINE LIM
TETAP OPTIMIS: Dr Tan See Leng (kiri) melahirkan rasa optimis akan masa depan Asia walau banyak cabaran mendatang semasa Sidang Puncak Masa Depan Asia The Straits Times 2022 di Pusat Konvensyen Raffles City semalam. Bersama beliau adalah Editor Rencana ST, Cik Grace Ho. - Foto BH oleh FELINE LIM -

SEDANG negara Asia terus menangani banyak ketidakpastian, mereka mesti terus mengukuhkan tindakan jangka panjang demi merebut peluang untuk menjamin masa depan.

Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, juga mengetengahkan tiga bidang utama yang boleh menentukan pertumbuhan jangka panjang Asia - memanfaatkan pertumbuhan Asia, perubahan iklim dan pendigitalan.

Bercakap pada Sidang Puncak Masa Depan Asia The Straits Times 2022 Pusat Konvensyen Raffles City semalam, beliau berkata ketegangan geopolitik, termasuk perang di Ukraine, dan gangguan rantaian bekalan berlarutan telah membawa kepada tekanan inflasi berterusan, yang telah mengakibatkan tindakan pengetatan kewangan di seluruh dunia.

Perkara itu pula telah menyebabkan pengurangan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan, sekali gus melembapkan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, sebarang peningkatan dalam konflik Russia-Ukraine boleh membawa kepada kenaikan harga makanan dan tenaga, dan memburukkan lagi tekanan inflasi global.

"Namun, sedang kita menangani perkara ini, kita juga mesti menetapkan langkah jangka panjang untuk merebut peluang untuk menjamin masa depan Asia buat diri kita sendiri.

"Dalam hal ini, saya ingin mengetengahkan tiga bidang utama yang saya fikir akan menentukan pertumbuhan jangka panjang kita," katanya.

Pertama, potensi pertumbuhan Asia. Semasa pandemik sejagat, ekonomi Asia menguncup kurang daripada ekonomi dunia. Ia juga dijangka pulih dengan lebih pantas.

Negara Asia juga dijangka menjadi antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia berikutan peningkatan permintaan kelas pertengahan.

"Rantau terdekat di Asia Tenggara adalah kawasan berpotensi, dengan banyak kawasan pertumbuhan yang membuka peluang kepada Singapura dan seluruh rantau ini.

"Dengan gabungan penduduk yang lebih besar daripada EU (Kesatuan Eropah) dan asas ekonomi kukuh, usaha untuk bekerjasama akan membolehkan kita secara kolektif merebut peluang yang dibentuk oleh keadaan dunia semasa.

"Potensi rantau ini amat besar, dan kita perlu saling bekerjasama untuk merebut peluang ini," ujarnya.

Perkara kedua adalah perubahan iklim yang terus memberi cabarannya yang tersendiri. Namun, cabaran itu juga bermakna terdapat peluang penyesuaian yang besar di Asia.

"Pelaburan dalam tenaga bersih dan penambahbaikan kepada infrastruktur untuk menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tenaga baru akan menjadi penting untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.

"Ekonomi dan perniagaan yang bertindak awal dalam beralih ke arah penyelesaian karbon rendah dan mampan akan mempunyai kelebihan daya saing jelas," ujar Dr Tan.

Perkara ketiga adalah pendigitalan yang telah dipercepatkan oleh pandemik Covid-19.

Perdagangan dan ekonomi digital akan memainkan peranan semakin penting dalam ekonomi Asia, sedang berlakunya lonjakan penggunaan digital oleh kedua-dua perniagaan dan pengguna semasa wabak peringkat global dan Asia itu.

Dr Tan berkata potensi ekonomi digital Asia Tenggara sedang berada di landasan betul untuk mencapai lebih AS$363 bilion ($512.3 bilon) yang akan menjadi salah satu pasaran digital paling pesat berkembang di dunia dengan peluang dalam bidang seperti e-dagang, perkhidmatan awan, teknologi kewangan dan sebagainya untuk penggunaan dalam talian rentas sempadan.

Semasa sesi soal jawab, Dr Tan berkata beliau optimis akan masa depan Asia walau banyak cabaran mendatang.

Ini termasuk dalam bidang perkhidmatan dan pelancongan yang dijangka terus meningkat selepas pembukaan semula ekonomi banyak negara pospandemik Covid-19.

Singapura, katanya, juga akan mempertingkat statusnya sebagai hab lautan dan penerbangan selain terus berusaha menarik bakat asing di samping mempertingkat kemahiran pekerja tempatan.

"Rantau terdekat di Asia Tenggara adalah kawasan berpotensi, dengan banyak kawasan pertumbuhan yang membuka peluang kepada Singapura dan seluruh rantau ini. Dengan gabungan penduduk yang lebih besar daripada EU (Kesatuan Eropah) dan asas ekonomi kukuh, usaha untuk bekerjasama akan membolehkan kita secara kolektif merebut peluang yang dibentuk oleh keadaan dunia semasa. Potensi rantau ini amat besar, dan kita perlu saling bekerjasama untuk merebut peluang ini." - Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg