NEGARA-NEGARA Asia menyuarakan keprihatinan mereka akan kesan negatif akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, dengan para menteri luar menggesa supaya perbincangan perjanjian dagangan bebas yang disokong Beijing dan mengecualikan Amerika Syarikat, dipercepatkan.

Keprihatinan bahawa perselisihan dagangan antara dua ekonomi utama dunia boleh menjadi perang dagangan yang besar merupakan antara topik yang menguasai perbincangan semasa sidang puncak serantau di Singapura semalam.

Tarif yang menyebabkan ketegangan selama beberapa bulan yang semakin meningkat Jumaat lalu selepas Beijing mengancam untuk mengenakan levi ke atas sekitar AS$60 bilion ($82 bilion) barangan Amerika. Prospek perang dagangan merupakan 'ancaman nyata' bagi negara-negara Asia, kata Menteri Ehwal Luar Malaysia Dato' Saifuddin Abdullah kepada wartawan semalam semasa sidang puncak tersebut.

"Ancaman tersebut menimbulkan keprihatinan banyak negara dan ia semakin rumit," katanya. Ahli diplomat lain yang hadir di forum Asean itu membantah dasar fahaman perlindungan dan memberi amaran bahawa ia meletakkan pembangunan rantau tersebut dalam bahaya.

"Anti-globalisasi yang meningkat serta dasar fahaman perlindungan dagang di kalangan negara-negara utama meningkatkan ketegangan dan mengancam aspirasi kami untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan," kata Menteri Luar Korea Selatan, Encik Kang Kyung-wha.

Negara dalam rantau ini harus "meneroka cara kreatif untuk mendalami dan memperluaskan lagi kerjasama" menghadapi cabaran seperti itu, katanya.

Beberapa menteri telah meminta perbincangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dapat diselesaikan lebih awal.

RCEP merupakan perjanjian 16 negara yang bersedia untuk menjadi perjanjian dagang bebas terbesar di dunia, yang menjangkau seramai separuh penduduk dunia Perjanjian RCEP itu akan menggabungkan 10 anggota Asean termasuk China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Semasa ditemui media semalam, Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata negara-negara Asia Tenggara belum sempat menyelesaikan perjanjian keselamatan siber dengan Russia. Ditanya mengenai perjanjian itu, Dr Vivian memberitahu wartawan Reuters: "Kami tidak dapat menyelesaikannya." Beliau menambah bahawa keselamatan siber merupakan salah satu isu utama yang dibincangkan semasa mesyuarat itu.