Topik diikuti
Pergi ke BHkuAturan kerja fleksibel, sokongan jagaan antara kebimbangan ketua gerakan pekerja Melayu/Islam
Aturan kerja fleksibel, sokongan jagaan antara kebimbangan ketua gerakan pekerja Melayu/Islam
Aturan kerja fleksibel, sokongan jagaan antara kebimbangan ketua gerakan pekerja Melayu/Islam
Aturan kerja fleksibel, sokongan penjagaan, peluang dan kestabilan pekerjaan bagi warga senja merupakan antara kebimbangan yang diutarakan oleh ketua gerakan pekerja Melayu/Islam dalam sesi dialog pada 21 Oktober.
Sesi itu, yang berlangsung di Wisma Geylang Serai (WGS), menyaksikan sekitar 50 ketua gerakan pekerja hadir dalam perbincangan bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Selain beliau, turut hadir ialah kededua pengerusi bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER) iaitu Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah yang juga merupakan AP gerakan pekerja.
Sesi itu dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai usaha membantu masyarakat Melayu/Islam menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan membina keupayaan.
Hasil maklum balas sesi dialog itu akan digunakan oleh CER untuk merangka penyelesaian yang dapat memanfaatkan masyarakat kelak.
Dalam satu kenyataan Facebook pada 22 Oktober, Encik Zaqy berkata dialog sedemikian penting kerana ia memberikan peluang untuk pemerintah memahami antara lain sokongan yang diperlukan pekerja.
Beliau berkata: “Perbincangan seperti ini membantu kami memahami aspek yang pekerja perlukan lebih banyak sokongan dan bagaimana kami dapat memperbaiki (tahap sokongan) secara bersama.”
Selain perihal pekerja, arus perubahan dek kecerdasan buatan (AI) juga merupakan perkara yang diketengahkan, tambah beliau.
Oleh demikian, beliau berkata penting bagi pekerja meningkatkan diri dengan pembelajaran sepanjang hayat agar mereka dapat “memanfaatkan peluang baru dan berkembang, sejajar dengan perubahan ini”.
Secara berasingan, Dr Wan Rizal dalam satu hantaran Facebook pada 22 Oktober berkata peranan ketua gerakan pekerja adalah salah satu tonggak sokongan bagi pekerja.
Lantaran itu, penglibatan golongan ini perlu diiktiraf kerana ia dapat memperkukuh rangkaian masyarakat secara lebih meluas – merangkumi rangkaian M Kuasa Tiga Plus (M3+) sebagai contoh.
Berhubung kebimbangan aturan kerja fleksibel, Dr Wan Rizal memberi penekanan terhadap tahap kepercayaan dan kesefahaman antara pekerja dengan majikan dalam membuat aturan sedemikian.
Encik Saktiandi pula, dalam satu hantaran Facebook berasingan pada 22 Oktober, berkata ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga minyak dapat meningkatkan kos perniagaan dan perbelanjaan isi rumah.
Ia juga boleh menjejas keputusan perniagaan untuk melabur, melebarkan sayap dan mengambil pekerja, tambah beliau.
“Namun pada masa yang sama, AI mewujudkan peluang bagi perniagaan untuk meningkatkan produktiviti dan berkembang.
“Ini di samping mengubah jenis pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan oleh majikan.
“Para pekerja memerlukan sokongan bagi memperoleh kemahiran baharu dan mengharungi peralihan ini,” ujarnya.
Berkongsi sentimen serupa, salah seorang hadirin di acara tersebut, Encik Sazali Zainal, berkata AI harus dianggap sebagai satu alat yang membantu pekerjaan dan meningkatkan daya produktiviti. Ini memerlukan pekerja untuk meningkatkan diri.
Anggota Jawatankuasa Pusat NTUC dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja ST Engineering (STESU) itu berkata:
“Para pekerja harus memastikan kemahiran dan pengetahuan mereka adalah yang terkini.
“Bagi pihak majikan, mereka juga berdepan cabaran tersendiri – meliputi kos operasi perniagaan lebih tinggi, kadar sewa lebih tinggi, kos tenaga lebih tinggi, dan kos tenaga kerjaya yang lebih tinggi. Justeru, AI boleh membantu meringankan beberapa aspek ini.”