Pemilik kucing boleh membuat permohonan bagi lesen membela kucing, dengan bermulanya skim pelesenan kucing pada 1 September. Ini juga bermakna penghuni flat HDB kini dibenarkan membela kucing di rumah buat kali pertama sejak 1989.
Tempoh peralihan dua tahun dari 1 September hingga 31 Ogos 2026 diberi bagi membantu pemilik kucing menjalani perubahan itu secara bertahap, menurut Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) dan HDB dalam satu kenyataan bersama pada 31 Ogos.
Pada akhir tempoh peralihan itu, semua kucing peliharaan perlu dipasang mikrocip dan pemilik perlu mempunyai lesen.
Pada 1 September 2026, menyimpan kucing peliharaan tidak berlesen akan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung NParks.
Tiada bayaran dikenakan bagi mendapatkan lesen sepanjang tempoh peralihan itu, menurut Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, dalam satu kiriman di Facebook.
“Jangan tinggalkan kucing peliharaan anda, selagi anda mendapatkan lesen untuk kucing anda dan memastikan ia dijaga dengan baik, anda boleh menyimpan semua haiwan peliharaan anda,” katanya.
Antara langkah yang perlu diberi perhatian oleh pemilik kucing ialah menjalani kursus percuma untuk menjaga haiwan peliharaan di https://go.gov.sg/petownershipcourse.
Selain perlu memasang mikrocip pada kucing mereka dan mendapatkan lesen, pemilik kucing digalak mengembiri kucing mereka atas sebab-sebab kesihatan serta mengawal pembiakan, ujar Encik Tan.
Menurutnya, AVS menawarkan khidmat memasang mikrocip percuma bagi lebih 1,100 kucing peliharaan di acara Pets’ Day Out dan acara lain sejak Mei 2024.
Ini selain 270 kucing peliharaan yang dikembirikan dan dipasang mikrocip semasa tiga acara lain dari November 2023 hingga Mei 2024.
Mulai 1 September, pemilik tinggal di flat HDB boleh membela hingga dua kucing manakala penghuni rumah privet boleh memelihara hingga tiga.
Mereka yang memelihara kucing lebih daripada jumlah yang ditetapkan masih boleh membelanya selagi mereka mendapatkan lesen bagi haiwan itu semasa tempoh peralihan dan berupaya memastikan kesemua kucing itu dapat dijaga dengan baik.
Namun, jika jumlah kucing yang dibela melebihi had itu, pemilik tidak boleh mendapatkan lesen tambahan setelah tempoh peralihan tamat.
Pemilik boleh memohon lesen bagi kucing mereka menggunakan mikrocip melalui https://pals.avs.gov.sg/.
Lesen akan ditawarkan percuma sewaktu tempoh peralihan itu. Ia kemudian akan berharga $15 bagi lesen tempoh setahun bagi setiap ekor kucing yang sudah dikembiri dan $90 setahun, bagi kucing tidak dikembiri.
Lesen yang dimohon ketika tempoh peralihan itu, adalah untuk seumur hidup bagi kucing sudah dikembiri sementara lesen bagi kucing tidak kembiri hanya sah sepanjang tempoh berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg