INDUSTRI perikanan dan pihak berkuasa berkata Singapura amat bersedia menghadapi sebaran cabaran yang timbul jika Malaysia menyekat eksport beberapa jenis ikan dan udang buat sementara.
Kerajaan Malaysia, pada Isnin (17 Dis) berkata ia akan melarang eksport makanan laut dari 1 Januari hingga 28 Februari dan dari 1 Mei hingga 30 Jun tahun depan untuk memenuhi permintaan dalam negeri semasa musim tengkujuh dan musim perayaan.
Perintah larangan serupa telah dikenakan dalam tempoh enam tahun lalu. Makanan laut yang terjejas termasuk ikan kembong, pelaling, selar, salayang, bawal putih dan semua jenis udang. Ini termasuk makanan laut hidup, sejuk atau yang dibekukan.
Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA) pada Rabu (19 Disember) berkata sekatan itu tidak akan mendatangkan kesan besar kepada bekalan makanan laut keseluruhan Singapura, kerana para pengimport 'amat bersedia untuk mendapatkan bekalan dari sumber lain dalam tempoh yang ditentukan'. Menambah, ia juga berkata enam jenis makanan laut yang diimport dari Malaysia itu membentuk kurang 10 peratus bekalan makanan laut keseluruhan di Singapura tahun lalu.
Malaysia biasanya mengurangkan eksport dalam musim tengkujuh apabila tangkapan nelayan berkurangan dan pada tempoh perayaan Tahun Baru Cina apabila permintaan dalam negeri bertambah.
Presiden Persatuan Besar Saudagar Ikan Singapura Enck Lee Boon Cheow, 79 tahun berkata sekatan eksport dua kali setahun ini 'tidak mendatangkan kesan kepada industri perikanan kita'.
Singapura turut membeli makanan laut dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand, katanya.
Indonesia ialah pembekal makanan laut terbesar bagi Singapura, membekal antara 40 dengan 50 peratus makanan laut keseluruhan.
"Tidak perlu bimbang kita kekurangan ikan," kata Encik Lee.
Encik Tan Peng Kiat, 52 tahun, pemilik Chip Hong (Pin Sin) Fishery berkata: "Keadaannya sama setiap tahun: Disebabkan Tahun Baru Cina, bekalan (ikan) merosot. Rakyat Malaysia juga hendak makan dan meraikannya."
Namun, Encik Tan berkata harga ikan akan bertambah, dengan harga bawal dijangka meningkat seganda, daripada $20 sekilogram kepada $40 sekilogram. Harga udang pula boleh bertambah daripada $15 sekilogram kepada $25 sekilogram.
"Jumlah ikan bagi kita memang merosot pada penghujung Disember dan Januari... bagi sabat tahun. Bekalan ikan yang merosot ini juga disebabkan musim tengkujuh," kata Encik Tay.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg