APABILA Cik Syafiqah Abdul Karim menemui kliennya buat kali pertama, ramai yang terkejut melihat seorang tukang urut yang muda.
Walaupun Cik Syafiqah, 31 tahun, baru setahun jagung menjadi tukang urut secara sambilan, beliau sudah mempunyai pelanggan tetap.
Ada pelanggan ini yang menjadikan beliau pengganti tukang urut lama yang sudah uzur atau bersara.
Beliau, yang bekerja sepenuh masa sebagai guru prasekolah, mula mengambil kursus urut secara profesional setelah mencari kursus yang sesuai untuk memanfaatkan kredit SkillsFuture.
"Sebelum ini, saya pernah juga urut ahli keluarga saya. Mereka kata tangan saya baik dan mereka dapat rasa kesannya.
"Oleh itu, saya terfikir mengapa tidak ambil kursus untuk belajar urut dengan lebih mendalam jadi saya boleh bantu, bukan sahaja ahli keluarga, malah orang lain juga," ujar Cik Syafiqah.
Beliau menggunakan kredit SkillsFuture untuk mengambil kursus urut Swedish, limfatik, serta urut sebelum dan selepas bersalin.
Setelah meraih keyakinan untuk menawarkan khidmat itu, beliau mula mengambil klien, bermula dengan ahli keluarga dan rakannya.
"Pada mulanya saya takut juga nak beri komitmen sebab saya pun ada kerja sepenuh masa.
"Tetapi rugi pula kalau tak guna kemahiran yang saya pelajari," ujarnya.
Beliau mula ke rumah klien yang kebanyakannya tinggal di kawasan timur berdekatan rumahnya, membawa bersamanya katil urut dan keperluan lain seperti tuala.
Kliennya kini kebanyakannya merangkumi wanita berusia antara 30-an dengan 40-an tahun, dan ada juga yang berusia 50-an tahun.
"Kali pertama saya datang jumpa klien, mereka kata 'mudanya awak'. Selama ini mereka pun tidak pernah ada tukang urut yang bawa katil sendiri, tuala sendiri.
"Ada cakap harga mahal tetapi saya mahu 'set the standard'. Jadi apabila saya datang, pelanggan boleh relaks.
"Mereka hanya perlu siapkan diri mereka dan tidak perlu susah-susah," katanya.
Buat masa ini, beliau memberi khidmat urut tradisional dan limfatik, kerana masih belum bersedia untuk menawarkan urut sebelum dan selepas bersalin.
Namun, beliau berharap untuk mendalami lagi bidang urut tersebut.
"Ada juga yang tanya saya mengenai khidmat urut sebelum dan selepas bersalin.
"Bukannya saya tak mahu tetapi untuk jenis urut ini orang biasanya gemar cara lama dan saya belum berani buat lagi," ujarnya.
Setakat ini, beliau mengekalkan pekerjaan sepenuh masanya kerana masih berminat dalam bidang mengajar.
Beliau tidak menolak kemungkinan menawarkan khidmat urut secara sepenuh masa satu hari nanti jika beliau meraih lebih ramai klien.
"Saya berpegang kepada prinsip 'hustle demi hasil'.
"Walaupun khidmat ini juga memberi pendapatan sampingan, niat saya mahu bantu orang dan niat itu penting," ujar Cik Syafiqah, yang turut menawarkan khidmat melukis inai.
Beliau belum berumah tangga dan kini menjaga anak saudaranya sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan hingga kini usianya lima tahun.
"Apa yang saya lakukan ini untuk saya dan anak saudara saya ini. Saya sendiri dibesarkan oleh nenek. Walaupun nenek tak ada banyak duit, beliau hujani kami dengan penuh kasih sayang.
"Apabila saya ambil kursus untuk urut ini pun, nenek saya kata teruskan, asalkan saya tidak berhenti separuh jalan," ujar Cik Syafiqah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg