“
POLIS sedang menyiasat seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan telah menghantar kiriman emel perolehan kepada pelbagai firma. Dalam kenyataannya pada Rabu (12 Ogos), SCDF berkata ia sedar bahawa terdapat kiriman emel palsu yang dihantar kepada pelbagai syarikat yang ditandatangani oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai SCDF dengan emel tersebut seolah-olah merupakan kiriman emel rasmi dari SCDF. Memberi contoh, SCDF berkata antara alamat emel palsu itu ialah seperti "quotation@scdf-gov-sg.com. Bagaimanapun, semua alamat emel SCDF berakhir dengan @scdf.gov.sg. "Emel berkenaan cuba memperoleh barangan daripada syarikat, dan ini telah mencetuskan perhatian SCDF," kata pasukan tersebut. SCDF telah melaporkan kes tersebut kepada polis dan siasatan sedang dijalankan. Ia juga telah meminta firma yang menerima emel palsu itu supaya membuat laporan polis. Menurut SCDF, selaras dengan prosedur perolehan Seluruh Pemeritah, ia hanya menerbitkan undangan untuk mendapatkan harga produk dan tender di GeBiz, iaitu wadah perolehan elektronik pemerintah. Firma diperlukan menghantar bidaan mereka menerusi wadah tersebut, tambah SCDF.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg