Awas helah penipu kononnya mahu kuat kuasa perintah mahkamah
Awas helah penipu kononnya mahu kuat kuasa perintah mahkamah
ORANG ramai dinasihatkan supaya berwaspada akan helah penipu yang mendakwa mereka mempunyai kebenaran Mahkamah Singapura untuk merampas harta seseorang jika mangsa tidak membayar ribuan dolar untuk menghentikan proses itu.
Dalam satu kenyataan semalam Mahkamah Singapura berkata mereka maklum tentang penipuan telefon baru di mana penjenayah mendakwa mewakili sebuah firma guaman yang 'ditugaskan' menguatkuasakan perintah mahkamah, yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Singapura.
Setelah mendapat alamat kediaman mangsa, penipu menggunakan maklumat tersebut untuk meyakinkan mangsa supaya mendedahkan nama, nombor kad pengenalan dan butiran akaun bank mereka, dengan alasan mahu mengesahkan maklumat ini.
Mereka kemudian meminta mangsa supaya memindahkan kira-kira $3,000 bagi menghentikan perintah penguatkuasaan rampasan rumah dan harta benda mangsa.
Di Singapura, perintah mahkamah yang dikenali sebagai writ kesulitan biasanya digunakan dalam kes di mana pemilik tanah merampas harta penyewa untuk dijual bagi mendapatkan semula sewa yang tidak dibayar.
Semalam, mahkamah mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon kepada sesiapa yang berpura-pura mewakili firma guaman.
Mahkamah berkata jika salinan perintah mahkamah dikemukakan, ia boleh disahkan dalam talian menerusi khidmat mahkamah yang dikenali sebagai Perintah Mahkamah Sahih di www.courtorders.gov.sg.
Perintah mahkamah sahih mempunyai kod akses unik sembilan huruf dan nombor kes.
Tanda amaran lain yang menandakan panggilan telefon sedemikian adalah palsu ialah penipu meminta mangsa menghubungi 6336-0644, nombor Mahkamah Tinggi yang tidak lagi digunakan.
Mahkamah juga menjelaskan bahawa sebarang permintaan pembayaran atau butiran peribadi tidak akan diminta melalui panggilan telefon.
Untuk nasihat berkaitan penipuan, hubungi 1800-722-6688 atau layari laman web www.police.gov.sg/iwitness

