Topik diikuti
Pergi ke BHkuAwi Rafael alih fokus, terus juang demi seni
Awi Rafael alih fokus, terus juang demi seni
Awi Rafael alih fokus, terus juang demi seni
PENYANYI dan penggubah lagu kelahiran Singapura, Awi Rafael, mempunyai pelbagai rancangan untuk mengembangkan kerjaya seninya sebelum Covid-19.
Beliau baru sahaja merakamkan single lagu berjudul Angels or Devils hasil gabungan bersama penyanyi dan penggubah lagu Amerika Syarikat, J. R. Richards.
Lagu yang diberi nafas baru dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu dirakam di Abbey Road Studios, London - antara studio terkemuka dunia yang pernah digunakan kugiran tersohor, The Beatles.
Awi, 35 tahun, merupakan artis rakaman pertama dari rantau Asia yang berpeluang membuat rakaman di studio itu.
"Kami ada rancangan untuk membuat konsert di Australia, New Zealand, Kuala Lumpur, Jakarta dan Singapura sekitar Mac 2021 tapi apakan daya," ujar Awi sambil menyifatkan kolaborasi dengan Richards sebagai "impian menjadi nyata".
Selain projek besarnya itu, Awi, yang nama sebenarnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael, yang sudah hampir 14 tahun bermastautin di Malaysia juga melihat pendapatannya menjunam sepanjang pandemik ini kerana sebahagian besar pendapatannya adalah daripada persembahan live.
Malah, beliau juga tidak dapat pulang ke tanah air untuk berjumpa dengan ahli keluarga, terutama ibu tersayang sepanjang sekatan rentas sempadan, hinggalah baru-baru ini.
"Pertama kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan (di Malaysia), Awi dan rakan-rakan artis yang lain rasa tertekan," kata Awi, yang turut terpaksa mengambil keputusan menutup Studio Kafe Newsantara yang dikendalikannya bersama pelakon dan penyanyi, Aiman Hakim Ridza, yang juga merupakan suami kepada pelakon Zahirah MacWilson.
Dua tahun sebelum PKP, Awi mula bergiat aktif dalam Projek Muzik Spektrum, sebuah inisiatif terapi muzik yang diusulkannya bersama UiTM dan kanak-kanak autisme.
Malangnya penyelidikan dan pembangunan projek itu juga terpaksa dihentikan sewaktu Covid-19 demi keselamatan anak-anak itu.
"Dalam dua tahun itu, Awi sangat rindukan mereka kerana tidak dapat berjumpa dan meneruskan kegiatan bersama mereka," katanya.
Namun, ada hikmah dari setiap yang berlaku. Pengalaman Covid- 19 membuka mata Awi untuk mengalihkan tumpuan kepada industri yang lain.
Antaranya, beliau mendapat idea untuk mereka sendiri pelitup muka menggunakan fabrik denim.
Tidak disangka, pelitup mukanya mendapat sambutan positif.
Awi juga menubuhkan syarikat Newsantara Asia untuk mengalih fokus kepada bidang pemasaran untuk membantu jenama-jenama lain.
Antara syarikat yang bekerjasama dengannya termasuk Aeon dan Habib Jewels.
Artis yang pernah berada di bawah naungan Warner Music itu juga telah menerbitkan beberapa lagu bersama artis-artis seberang di bawah label rakaman bebasnya itu.
Awi sendiri telah menerbitkan lagu terbaru, SYG APA KBR, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Januari nanti.
Kini Awi yang baru sahaja pulang ke Singapura bercadang membuka sebuah studio rakaman bersama rakan niaganya, dan mengendalikan projek-projek baru dari sini.
Awi ingin menetap di Singapura buat waktu ini dan akan berulang-alik ke Kuala Lumpur, jika perlu.
"Semua yang berlaku ada hikmah. Awi memilih melihat dari sudut positif, dan berharap kawan-kawan dan juga peminat juga menjaga kesihatan mental di waktu-waktu mencabar sebegini," tambah Awi.
