Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ayah jadi pencetus minat penerima biasiswa IES ceburi bidang kejuruteraan

Utamakan keluarga, suka bantu orang lain antara ciri baik yang ditonjol
Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Encik Ahmad Danish Johan
(Dari kiri) Pengerusi Jawatankuasa Dana Biasiswa IES merangkap Presiden Emeritus IES, Encik Chong Kee Sen, penerima biasiswa sulung IES, Encik Ahmad Danish Johan, dan Presiden IES, Encik Chan Ewe Jin semasa Majlis Makan Malam Tahunan ke-59 IES pada 3 November di Hotel Fairmont Singapore. - Foto IES

Pada 3 November, Institusi Jurutera Singapura (IES) menyampaikan anugerah biasiswa kepada para pelajar bidang kejuruteraan yang layak, selaras dengan misi memupuk generasi bakat kejuruteraan. Lapan biasiswa disampaikan pada majlis makan malam IES di Hotel Fairmont Singapore. Berita Harian (BH) mewawancara dua penerimanya, Encik Ahmad Danish Johan, penerima sulung Anugerah Biasiswa IES; dan Cik Ayumi Erraziqa, penerima Biasiswa IES-Yayasan Mendaki. Ikuti laporan berikut.

Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi.

Sejak kecil, Encik Ahmad Danish Johan, melihat kegigihan ayahnya mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya menyanjungi ayah saya, yang pernah mengambil jurusan kejuruteraan elektrik di Politeknik Ngee Ann.

“Sejak kecil lagi, saya menjadikannya sebagai contoh kerana beliau bekerja keras untuk keluarga,” kata Encik Ahmad, 17 tahun.

Pendedahan itu sekali gus membuat beliau turut memilih menceburi bidang kejuruteraan.

Di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, beliau mengikuti pengajian Sijil Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik, dan merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik di politeknik pada masa hadapan.

Pada 3 November, Encik Ahmad menerima biasiswa sulung Institusi Jurutera Singapura (IES).

Biasiswa tersebut menyokong pelajar jurutera muda yang berpotensi, dengan akhlak terpuji dalam mengejar ilmu semasa pengajian dan perkembangan profesional mereka.

Biasiswa itu diberikan kepada pelajar daripada tiga kategori iaitu universiti, politeknik dan ITE.

Encik Ahmad merupakan penerima di bawah kategori ITE.

Beliau mendapat $4,000 bagi 2025, dan merupakan salah seorang daripada enam penerima pertama biasiswa berkenaan semasa Majlis Makan Malam Tahunan ke-59 IES, di Hotel Fairmont Singapore.

Daripada sudut peribadi, Encik Ahmad memiliki sikap mengutamakan keluarga sejak kecil, dan beliau menjadikan sifat suka membantu orang lain sebagai matlamat hidup.

Encik Ahmad kehilangan adik dalam kandungan ibunya pada 2016, selepas ibunya itu mengalami keguguran.

Ini mengingatkannya kepada segala kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan ibunya dalam membesarkannya.

Encik Ahmad masih ingat bagaimana ibu bapanya hanya menegur dengan lembut setiap kali beliau berkelakuan nakal semasa kecil.

Di Sekolah Menengah Hougang, beliau menyertai Majlis Perwakilan Pelajar dan turut menjadi sukarelawan di Pusat Mendaki di sekolahnya apabila berkesempatan.

Malah, di ITE Kolej Central, anak sulung lima beradik itu turut cenderung membantu orang lain sekali gus mendorongnya menjadi pemimpin sekolah.

Beliau menyokong rakan sebayanya dengan bersedia mendengar dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berdepan dengan isu peribadi atau akademik.

“Saya memegang tanggungjawab ini kerana saya benar-benar mahu membantu orang lain.

“Di Sekolah Menengah Hougang, moto sekolah ialah ‘Jadilah (pencetus) perubahan itu’, atau ‘Make the difference’.

“Ia sangat memberi kesan kepada saya, dan sejak itu, saya berazam untuk membawa perubahan itu,” kongsi Encik Ahmad semasa temu bual dengan Berita Harian (BH).

Menurut beliau, keinginan untuk membantu orang lain banyak dipengaruhi oleh ibunya, Cik Almahera Muhammad Nor, 43 tahun, yang sering menekankan kepentingan empati dan rendah hati sejak beliau kecil.

Salah satu peristiwa yang masih diingatinya ialah ketika dia meninggikan suaranya terhadap seorang doktor semasa pemeriksaan kesihatan asas.

Cik Almahera, yang menemaninya ketika itu, menegur dengan lembut: “Ibu tanya ‘Mengapa kamu berkasar dengan doktor?’ sedangkan doktor itu hanya menjalankan tugasnya.

“Setiap kali saya tersilap, ibu akan menegur dengan lembut. Saya sangat menghargainya,” katanya lagi.

Encik Ahmad juga sangat rapat dengan empat adiknya.

Beliau sering diberi kepercayaan oleh keluarga besarnya untuk menjaga sepupu kecilnya dan sentiasa meluangkan masa untuk bermain permainan seperti Uno atau congkak bersama adik-adiknya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg