SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ayam segar habis dijual di pasar dan pasar raya S'pura susuli pengumuman M'sia larang eksport ayam

Ayam segar habis dijual di pasar dan pasar raya S'pura susuli pengumuman M'sia larang eksport ayam

May 25, 2022 | 4:52 PM

Ayam segar habis dijual di pasar dan pasar raya S'pura susuli pengumuman M'sia larang eksport ayam

Foto BH oleh RYAN GOH
Foto BH oleh RYAN GOH -

BEKALAN ayam segar di pasar dan pasar raya dengan serta-merta habis dijual apabila pelanggan yang keresahan bergegas untuk membelinya demi menyimpan stok untuk kegunaan akan datang.

Permintaan ayam yang banyak ini timbul menyusuli pengumuman Malaysia bahawa ia akan menghentikan eksport hingga 3.6 juta ayam sebulan mulai 1 Jun hingga harga domestik dan pengeluaran mantap.

Di pasar sekitar Bedok, Ghim Moh, Bishan dan MacPherson, pengendali gerai ayam yang ditemui akhbar The Straits Times menjelaskan ayam habis dijual antara 8 dengan 9.30 pagi Rabu (25 Mei) , sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum kebiasaannya.

Gerai jualan ayam seperti Chop Eng Huat di pasar 216 Bedok North habis menjual ayamnya sekitar 9 pagi Rabu.

Kebiasaannya ayam hanya habis dijual sekitar tengah hari. "Saya sangat sibuk hari ini. Saya belum sempat meneguk air," kata pengendali gerai itu, Cik Tan Mei Inn, 50 tahun.

Menurutnya, pelanggannya membeli dua atau tiga kali ganda lebih banyak ayam semalam dengan ada yang membeli tiga hingga empat ayam sekali gus.

"Seorang pelanggan saya membeli ayam berharga hampir $300 dengan bahagian ayamnya sekali...kebiasaannya pelanggan tidak membeli sebanyak ini sekali gus," jelasnya.

Perniagaan bertambah sekitar 50 peratus di gerai ayam dan itik, 89 Kampong Chicken and Duck, juga di pasar Bedok North itu, sehingga 9.30 pagi.

Pemilik gerai, Encik Yeow Wei Min, 61 tahun, berkata beliau tidak menaikkan harga ayam kerana pembekalnya belum lagi menaikkan harga ayam itu.

"Bagaimanapun, saya telah membenarkan pelanggan saya mengetepikan tempahan ayam mereka bagi keesokan hari," jelas Encik Yeow sambil menambah beberapa pelanggan sudah pun membeli tiga kali lebih banyak bekalan ayam daripada kebiasaannya.

Kebanyakan pemilik gerai ayam di pasar juga menjelaskan mereka tidak akan mengehadkan bilangan ayam yang boleh dibeli setiap pelanggan sejauh ini.

Ayam segar juga laris dijual di kebanyakan pasar raya pada Rabu.

Beberapa cawangan pasar raya Sheng Siong, FairPrice dan Giant di kawasan Bedok kehabisan ayam segar menjelang 9 pagi dengan beberapa ayam beku sahaja yang tinggal.

Apabila akhbar The Straits Times mengunjungi pasar raya Giant di Bedok sekitar 11.30 pagi, hanya beberapa kotak bahagian ayam seperti kaki, kepak dan tulang sahaja yang tinggal.

Ayam segar terjual pada 8 pagi, jelas kakitangan pasar raya itu.

Bagaimanapun, di pasar raya CS Fresh by Cold Storage di Great World City, bekalan ayam segar masih boleh diperolehi.

Bagaimanapun, beberapa pelanggan yang ketinggalan mendapatkan bekalan ayam mereka di pasar dan pasar raya tidak begitu risau tetapi menjangkakan harga ayam beku akan naik dalam minggu mendatang.

"Kalau ada bekalan yang tinggal, saya mungkin membeli satu atau dua lagi ekor ayam. Saya tidak terkejut apabila mendapati ayam segar kehabisan kerana saya boleh mendapatkan ayam beku atau daging lain sebagai gantian," kata jurujual yang membeli barangan di FairPrice, Bedok Central, Cik Nicole Chia, 46 tahun.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg