Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Babi hutan ditangkap di Punggol susuli beberapa serangan

Feb 27, 2021 | 5:30 AM
DITANGKAP: Polis, pegawai dan kontraktor NParks mengepung kawasan di Punggol dan menangkap seekor babi hutan yang dipercayai terlibat dalam dua serangan Sabtu lalu. - Foto FACEBOOK SUN XUELING DAN PEMBACA SHIN MIN
DITANGKAP: Polis, pegawai dan kontraktor NParks mengepung kawasan di Punggol dan menangkap seekor babi hutan yang dipercayai terlibat dalam dua serangan Sabtu lalu. - Foto FACEBOOK SUN XUELING DAN PEMBACA SHIN MIN -

SEEKOR babi hutan, yang dipercayai terlibat dalam beberapa serangan di Punggol, telah ditangkap dan dibunuh semalam.

Ini menyusuli dua serangan membabitkan haiwan tersebut Sabtu lalu, yang mana dalam salah satu kejadian, haiwan itu menggigit kaki kiri seorang wanita hingga menyebabkan kecederaan.

Menteri Negara Pembangunan Negara, Encik Tan Kiat How, berkata Lembaga Taman Negara (NParks) telah memerangkap seekor babi hutan berhampiran lokasi dua insiden serangan itu sebelum ini.

Dalam proses memerangkap haiwan itu, seorang wanita dan seorang pegawai NParks telah mengalami kecederaan ringan, katanya.

"Babi hutan itu terpaksa dibunuh secara berperikemanusiaan kerana sikapnya yang agresif," kata Encik Tan.

Anggota Parlimen SMC Punggol West, Cik Sun Xueling, pula berkata polis telah mengepung kawasan sepanjang saluran air di Punggol itu dan pihak NParks serta kontraktornya tampil mengurus kes tersebut.

"Haiwan itu sudah ditangkap. Saya harap ini akan memberi kelegaan kepada anda kerana saya sedar ramai yang berasa amat risau (terhadap isu ini)."

Baru-baru ini, serangan haiwan liar menjadi keprihatinan orang ramai. Pihak berkuasa juga telah meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap pembuangan sisa makanan atau pemberian makanan secara haram kepada haiwan liar itu.

November lalu, seorang wanita berusia 50 tahun juga telah diserang oleh seekor babi hutan di Pasir Ris.

NParks pada Januari lalu mendedahkan seramai 19 individu telah dikenakan denda kerana memberi makanan kepada haiwan itu sekali gus melanggar peraturan di bawah Akta Hidupan Liar yang diperluas.

Di bawah akta tersebut, mereka yang didapati bersalah pada kali pertama boleh didenda sehingga $5,000 dan pesalah berulang boleh didenda sehingga $10,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg