Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan agama Buddha derma 30 tan beras di Masjid Ba’alwie

Mar 6, 2024 | 4:33 PM
Presiden Singapore Buddhist Lodge (SBL), Encik Tan Lee Huak (dua dari kiri) dengan sumbangan beras bersama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (berbaju ungu). Bersama mereka di majlis penerimaan sumbangan beras itu ialah sukarelawan SBL, Encik Jaafar Kassim (kiri); Pengasas Roses of Peace dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), yang merupakan penyelaras projek pengagihan beras, Encik Mohamed Irshad Abbas Ali; dan Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (kanan).
Presiden Singapore Buddhist Lodge (SBL), Encik Tan Lee Huak (dua dari kiri) dengan sumbangan beras bersama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (berbaju ungu). Bersama mereka di majlis penerimaan sumbangan beras itu ialah sukarelawan SBL, Encik Jaafar Kassim (kiri); Pengasas Roses of Peace dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), yang merupakan penyelaras projek pengagihan beras, Encik Mohamed Irshad Abbas Ali; dan Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Untuk membantu masjid, masyarakat dan keluarga yang memerlukan sempena Ramadan, badan agama Buddha setempat, Singapore Buddhist Lodge (SBL), telah menyumbang 30 tan atau 30,000 kilogram beras kepada Masjid Ba’alwie.

Ia merupakan tahun ke-14 SBL mengagihkan beras sejak usaha itu dimulakan pada 2011.

Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden SBL, Encik Tan Lee Huak, bersama beberapa wakil persatuan di majlis di Masjid Ba’alwie pada 6 Mac.

Berucap di majlis itu, Encik Tan berkata:

“Sumbangan kami merupakan bukti kerjasama dan hubungan antara masyarakat Singapura yang berbeza agama.

“Sebagai penganut Buddha, matlamat kami adalah untuk melakukan lebih banyak lagi.

“Setiap tahun kami memberi sumbangan kepada masjid di Singapura dan kami berharap usaha ini boleh membantu memupuk persefahaman antara masyarakat berlainan agama dan budaya serta mengeratkan hubungan kita bersama,” ujar beliau.

Encik Tan turut berkongsi bahawa SBL telah menerima sumbangan sekitar $100,000 daripada beberapa perusahaan dan usahawan bagi membiayai kos beras yang telah diberikan kepada Masjid Ba’alwie.

Tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata sumbangan serupa itu dapat memupuk persefahaman dalam masyarakat.

“Sumbangan ini menunjukkan bagaimana usaha masyarakat melengkapkan skim pemerintah untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan.

“Ia juga menunjukkan semangat Singapura yang membolehkan kita berkongsi perayaan antara kaum yang berbeza,” kata Encik Zaqy.

Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas, yang menerima sumbangan bagi pihak masjid setempat, terharu dengan usaha SBL membantu golongan memerlukan di samping mengeratkan hubungan antara masyarakat yang berlainan agama.

“Semasa sukarelawan kami mengagihkan beras yang disumbang oleh SBL kepada penghuni rumah sewa di Toa Payoh pada 2023, kami dapat lihat mereka amat menghargai bantuan yang diterima.

“Sumbangan SBL begitu bermakna bagi keluarga yang memerlukan,” kata Habib Hassan.

Turut hadir ialah pengasas Roses of Peace dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Mohamed Irshad Abbas Ali, yang merupakan penyelaras projek pengagihan beras.

Beliau berkata Masjid Ba’alwie akan bekerjasama dengan masjid lain, pertubuhan masyarakat dan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan beras.

“Sesiapa sahaja yang memerlukan beras boleh menghubungi pihak kami dan kami akan cuba untuk membantu,” kata beliau.

Mereka yang ingin menerima beras boleh mengisi borang di pautan, https://tinyurl.com/ramadanrice2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg