BAGI mengukuhkan semangat membantu penduduk Islam yang memerlukan dalam Ramadan ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai persatuan dan badan setempat.
Antara yang tulus menghulurkan bantuan adalah Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq). Selain memastikan masyarakat Islam di sini celik Al-Quran dengan menganjurkan program pembelajaran dakwah secara percuma, badan ini turut memberikan habuan dalam bentuk wang tunai serta barangan asas yang lain setiap tibanya Ramadan.
Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, menerangkan agihan ini dapat dilakukan menerusi dana Pergeraq sendiri serta derma daripada orang ramai.
Mereka juga berkolaborasi bersama Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS). Wang tunai berjumlah $5,000 akan diberikan kepada KCMS untuk kegunaan ahli-ahli mereka.
Selain itu, Pergeraq juga akan menaja 200 hamper barangan keperluan dapur berharga $50 setiap satu. Acara ini bakal dilakukan pada 8 April akan datang dan diagihkan kepada penduduk yang berkeperluan di kawasan Bedok.
"Pergeraq sangat prihatin dengan kenaikan harga dan inflasi yang menjejas teruk warga susah di sini. Kami ingin memberikan keceriaan kepada mereka dan meringankan beban, khususnya cabaran pasca-pandemik dan dengan kedatangan bulan yang mulia ini," jelas Encik Mohammad Hanafiah.
Bagi pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali, bantuan makanan seperti buah kurma diberikan kepada penduduk miskin di Jawa Tengah, Indonesia.
Kebanyakan penerima habuan ini merupakan penduduk daif yang tinggal di kawasan pedalaman dan pergunungan. Menurut Ustaz Dr Leyaket, kurma yang terdapat di sana lebih kecil, kering dan keras, tidak seperti yang terdapat di negara ini.
"Kurma-kurma yang kita agihkan adalah bermutu baik, iaitu campuran kurma daripada jenis Bam, kurma Ajwa, Safawi dan Mejdoul yang diterbangkan khas dari Madinah dan Singapura.
"Selain sumbangan kurma, kami juga menyediakan sumbangan daging dan juadah iftar serta sahur kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan di Jawa Tengah ini. Semua program bantuan ini penting bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara saudara Islam, sesama kita," jelas Ustaz Dr Leyaket.
Attawasol Insaniy juga turut menerima fidyah daripada orang ramai, amnya daripada warga Singapura. Pembayaran fidyah ini digantikan dengan pembelian beras dan diagihkan pula kepada mereka yang layak.
"Pergeraq sangat prihatin dengan kenaikan harga dan inflasi yang menjejas teruk warga susah di sini. Kami ingin memberikan keceriaan kepada mereka dan meringankan beban, khususnya cabaran pasca pandemik dan dengan kedatangan bulan yang mulia ini." - Encik Mohammad Hanafiah Tumin, Setiausaha Eksekutif Pergeraq.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg