‘Badge Lady’ disabitkan kesalahan tidak memakai pelitup di Orchard Road, tidak bantu siasatan STB
‘Badge Lady’ disabitkan kesalahan tidak memakai pelitup di Orchard Road, tidak bantu siasatan STB
Phoon Chiu Yoke, yang juga terkenal dengan gelaran “Badge Lady” (“Wanita Lencana”), didapati bersalah atas empat tuduhan, tiga daripadanya kerana tidak memakai pelitup semasa di Orchard Road.
Tuduhan pertama – berjalan di Mandarin Gallery di Orchard Road tanpa memakai pelitup dari 3.02 petang hingga 3.04 petang pada 6 Mac 2022.
Tuduhan kedua – tidak memakai pelitup semasa berjalan dekat kedai Victoria’s Secret antara 3.35 petang dan 3.37 petang pada hari yang sama.
Memakai pelitup muka di luar rumah tidak diwajibkan di Singapura hanya mulai 29 Mac 2022.
Satu lagi tuduhan ialah berjalan di pusat membeli-belah Ion Orchard tanpa memakai pelitup pada 16 Ogos 2022. Memakai pelitup muka di tempat seperti pusat membeli-belah tidak diwajibkan hanya mulai 29 Ogos 2022.
Pada Jumaat, Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata bukti video menunjukkan tertuduh tidak memakai pelitup muka, dan Phoon juga dikenal pasti secara positif oleh beberapa saksi.
Hakim berkata Phoon tidak mempunyai sembarang alasan munasabah untuk tidak memakai pelitup muka, dan mensabitkannya atas tuduhan tersebut.
Sebelum itu, Phoon, 56 tahun, berhujah bahawa kini, pemakaian pelitup bukan lagi satu keperluan dan mempersoalkan apa perlunya pendakwaan itu.
Katanya, “Jika seksyen (dalam Akta [Langkah-Langkah Sementara] Covid-19 2020) telah dibatalkan, kenapa kita duduk di sini membincangkan kesalahan yang bukan lagi kesalahan?
“Ia kelihatan seperti dendam, mencari kesalahan orang ini.”
Cik Phoon juga berhujah: “Adakah terdapat mangsa dalam kes ini? Adakah terdapat orang lain yang cedera serius kerana saya tidak memakai pelitup? Adakah berlaku kerugian kewangan besar kerana saya tidak memakai pelitup?”
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Heershan Kaur berkata, Phoon melakukan kesalahan itu ketika ia merupakan kesalahan yang boleh didakwa.
Phoon juga kata seorang pegawai penyiasat (IO) telah pergi ke apartmennya untuk mengambil pasportnya selepas dia didakwa. Katanya, ini satu penghinaan mahkamah.
Dia menggesa supaya semua pertuduhannya ditolak dan berdasarkan itu membatalkan keterangan IO.
DPP Kaur menolak dakwaan itu dan berkata IO mengambil pasport Cik Phoon di bawah peruntukan Kanun Prosedur Jenayah.
Phoon juga menghadapi satu lagi tuduhan kerana gagal menghadiri temu duga bagi satu siasatan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) atas kesalahan berkaitan pelitup.
Dalam hujah pendakwaan, DPP Kaur kata Phoon diberi tiga kali peluang untuk pergi ke STB.
Dia tidak mematuhi dua perintah pertama pada 19 dan 23 Mac 2023, dan dia telah membuat laporan polis pada 24 Mac 2022, menuduh seseorang menyamar sebagai pegawai STB.
Dia akan dijatuhi hukuman pada 11 September 2023.
Phoon boleh dikenakan hukuman lebih berat sebagai pesalah berulang. Bagi setiap tuduhan yang dihadapinya, dia boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanyanya, iaitu dua kali ganda denda maksimum atau hukuman penjara berbanding dengan hukuman yang mungkin diterima pesalah pertama.

