Topik diikuti
Pergi ke BHkuBagaimana peniaga dari rumah bakar semangat kembangkan niaga
Sushi bakar, sajian istimewa Siti Raudah, terima sambutan baik
Bagaimana peniaga dari rumah bakar semangat kembangkan niaga
IBARAT tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Pepatah yang menjelaskan ketidaktentuan untung atau malang nasib seseorang begitu dekat di hati Cik Siti Raudah Osman.
Apa tidaknya, pengasas Yodaebak - perniagaan menjual sushi bakar dalam dulang - berusia 40 tahun itu sudah bergiat dalam dunia perniagaan sejak 2015.
Lantas, telah menjadi lumrah baginya untuk mengalami kerugian atau keuntungan dalam menjalankan perniagaan.
Beliau mula-mula mengasaskan perniagaan dari rumah (HBB) menjual cip kentang.
"Saya perasan bahawa permintaan bagi cip kentang agak mendatar bagi sebahagian besar tahun dan hanya meningkat menjelang musim perayaan.
"Justeru, apabila pandemik melanda pada 2020, ia menjejas hasil," jelas ibu empat orang anak itu.
Tempoh itu juga detik yang memberi ilham kepadanya untuk mencuba sesuatu yang baru agar HBB beliau dapat berdaya tahan.
Justeru, pada sekitar Jun 2021, beliau mengubah produk yang dijual dan berjinak-jinak dengan sajian sushi bakar, yang kini dikenali sebagai Yodaebak, dengan mengambil pesanan dari rakan-rakan pada hujung minggu.
Beliau berkata: "Waktu itu, jumlah tempahan yang saya dapat adalah sekitar 20 hingga 30 dulang."
Tanpa disangkanya, jumlah tersebut meningkat sehingga 250 dulang dalam tiga bulan selepas beliau memulakan perniagaan itu.
Dari situlah beliau memberanikan diri untuk melibatkan diri dalam beberapa acara pada 2022 apabila sekatan pandemik mula dilonggarkan untuk melebarkan sayap perniagaannya.
"Pada 2022, saya melibatkan diri buat pertama kali dalam sesebuah acara.
"Secara keseluruhan, saya menyertai tiga pameran perdagangan dan respons yang saya dapat amat menggalakkan," ujar beliau.
Menjelaskan matlamatnya untuk melibatkan diri di bazar Kampong Glam kali ini, Cik Siti menyatakan sudah tiba masanya beliau ambil risiko besar.
Beliau berkata: "Semasa berbincang dengan suami saya, suami saya ada melahirkan ketidakpastian kerana pertama, sewa saja sudah mahal, belum lagi termasuk tenaga kerja dan lain-lain.
"Bagi saya, peluang sudah tersaji, jadi ambil saja dan lakukan yang terbaik."
Setakat ini, beliau menyatakan sambutan pelanggan sangat baik, memandangkan jumlah dulang yang dijual secara purata mencecah 300 pada hari-hari biasa.
Pada hujung minggu pula, jumlah tersebut melonjak kepada sekitar 600 dulang.
"Saya bersyukur dengan sambutannya setakat ini.
"Saya rasa lokasi Kampong Glam yang terletak di pusat dan dekat dengan tapak-tapak pelancongan seperti Masjid Sultan menjadi tarikan utama pengunjung ke sini."
Beliau menambah, apa yang penting dalam menjalankan perniagaan adalah keikhlasan dan menitik beratkan mutu.
"Saya tidak bertolak ansur berkenaan kualiti kerana bagi saya, ia salah satu faktor yang menjejas kepuasan pelanggan," kata Cik Siti.
"Semasa berbincang dengan suami saya, suami saya ada melahirkan ketidakpastian kerana pertama, sewa saja sudah mahal, belum lagi termasuk tenaga kerja dan lain-lain.
Bagi saya, peluang sudah tersaji, jadi ambil saja dan lakukan yang terbaik."
- Cik Siti Raudah Osman, pengasas Yodaebak.