Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahagian peribahasa ditiadakan dalam peperiksaan GCE ‘O’ mulai 2024

Pelajar tetap diajar peribahasa, tetapi tidak akan diuji secara ketara
Feb 12, 2024 | 5:30 AM
Meskipun bahagian peribahasa ditiadakan lagi dalam kertas peperiksaan GCE peringkat ‘O’, pelajar akan terus diajar peribahasa yang relevan dengan topik dan tema dalam kurikulum mereka.
Meskipun bahagian peribahasa ditiadakan lagi dalam kertas peperiksaan GCE peringkat ‘O’, pelajar akan terus diajar peribahasa yang relevan dengan topik dan tema dalam kurikulum mereka. - Foto fail

Bahagian peribahasa dikeluarkan daripada peperiksaan Bahasa Melayu GCE peringkat ‘O’ mulai 2024.

Perubahan ini adalah berdasarkan Sukatan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Sekolah Menengah) yang dikemas kini pada 2021.

Sehingga 2023, kertas peperiksaan Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Lanjutan mengandungi bahagian peribahasa tersendiri di mana pelajar perlu menjawab lima soalan berbentuk mengisi tempat kosong dengan memberikan peribahasa yang tepat berdasarkan konteks yang diberikan.

Mulai peperiksaan GCE peringkat ‘O’ 2024, bahagian peribahasa tersebut ditiadakan lagi.

Namun pelajar akan terus diajar peribahasa yang relevan dengan topik dan tema dalam kurikulum Bahasa Melayu.

Peribahasa masih disertakan dalam bahagian lain kertas ujian seperti dalam bahagian kefahaman, walaupun ia tidak lagi akan diuji secara ‘eskplisit’ atau ketara, kata jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE), menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).

“Kurikulum Bahasa Melayu bertujuan melibatkan pelajar dalam cara pengajian yang seronok dan memupuk keupayaan mereka menjadi pengguna Bahasa Melayu yang lancar dan fasih,” kata jurucakap itu.

“Sukatan Pengajaran dan Pembelajaran, yang dikemas kini pada 2021, lebih menekankan kepada pendedahan dan penglibatan dengan teks sastera, penggunaan isu kontemporari dan hal ehwal semasa untuk mengontekstualisasikan pembelajaran pelajar, serta integrasi ICT (teknologi infokom) yang lebih baik untuk pembelajaran interaktif dan tersuai.

Menambah, jurucakap itu berkata guru Bahasa Melayu digalak mengguna pakai cara kreatif untuk membantu pelajar memahami dan menghargai makna, tujuan dan konteks di sebalik setiap peribahasa.

Ini boleh dilakukan melalui kuiz, tugasan, perbincangan kumpulan atau projek penyelidikan.

Beliau berkata dalam menyemak sukatan pelajaran, MOE mempertimbangkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk guru, pelajar, wakil daripada Institut Pengajian Tinggi serta perkembangan serantau dalam pembelajaran bahasa.

“MOE kerap menyemak sukatan pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran untuk mengikuti perkembangan dalam landskap pendidikan dan untuk membantu pelajar membangunkan kecekapan yang berkaitan.

“Sukatan pelajaran yang dipertingkatkan ini juga menyemai pengetahuan budaya dan penghargaan terhadap bahasa Melayu,” kata jurucakap tersebut.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg