BAHAGIAN utara Koridor Rel dibuka semula pada Jumaat (10 Feb), yang membolehkan perjalanan lancar dengan persekitaran hijau dari Kranji MRT ke Spooner Road di bahagian selatan.
Laluan sepanjang 21 kilometer itu disambungkan dengan lebih 30 laluan akses. Daripada jumlah itu, 23 adalah bebas halangan dan menghubungkan penduduk dengan Penghubung Taman Kranji-Mandai yang baru dibuka untuk mereka boleh meneroka laluan dan kemudahan yang dipertingkat di sepanjang Koridor Rel.
Pembukaan Koridor Rel Utara dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, yang mendedahkan penanda di nod Kranji, dan menanam pokok Gutta Percha berhampiran Jambatan Hillview bersama Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Gan Kim Yong. Koridor Rel adalah sebahagian rancangan keseluruhan untuk mengatur rangkaian laluan rekreasi sepanjang 360 kilometer di Singapura. Ruang itu memperingati warisan, dengan mengekalkan elemen utama kereta api di sepanjang koridor, Ia juga akan membolehkan setiap isi rumah tinggal dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari taman menjelang 2030. Koridor Rel yang kini lebih terhubung dan boleh diakses oleh orang ramai selain boleh menghubungkan satu juta penduduk yang tinggal dalam radius 1 kilometer dan juga pengunjung lain. Lebih banyak penambahbaikan seperti tempat perlindungan dan tandas akan disiapkan pada pertengahan 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg