Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakal gerakkan usaha lebih gigih dorong lebih ramai warga emas jalani vaksinasi: Ong Ye Kung

Jul 7, 2021 | 6:54 PM
Foto CHINESE MEDIA GROUP
Foto CHINESE MEDIA GROUP -

USAHA lebih gigih akan digerakkan bagi menggalak lebih ramai warga emas menjalani vaksinasi kerana mereka kekal sebagai kumpulan yang paling terdedah dengan jangkitan Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung pada Rabu (7 Julai).

Beliau memberi contoh bagaimana di negara lain di mana kadar vaksinasinya tinggi dengan keupayaan membuka semula ekonomi, kebanyakan daripada mereka yang mengalami sakit teruk daripada jangkitan Covid-19 adalah golongan warga emas.

"Apa yang kita benar-benar perlu lakukan adalah mendapatkan lebih ramai daripada warga emas kita menjalani vaksinasi," katanya di sidang media maya yang dikendalikan pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19.

"Jika anda bandingkan keadaannya merentasi usia, mereka yang berusia 70 tahun ke atas mempunyai kadar suntikan pertama paling rendah dan juga kadar tempahan suntikan paling rendah. Sepatutnya, kadar terendah adalah dalam kalangan golongan yang lebih muda," jelas Encik Ong.

Bagi warga emas berusia 70 tahun ke atas, 71 peratus daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin atau telah membuat janji temu vaksinasi, tambahnya. Kadar ini adalah dua peratusan mata lebih daripada maklumat yang didedahkan sebelum ini.

Bagi mereka yang berusia antara 60 hingga 69 tahun, kadarnya ialah 85 peratus. Bagi yang berusia antara 50 dengan 59 tahun serta antara 40 hingga 49 tahun, kadarnya ialah 86 peratus.

Bagi mereka yang berusia antara 30 dengan 39 tahun pula, kadar peratusannya ialah 78 peratus manakala antara 20 hingga 29 tahun ialah 80 peratus. Kadar 80 peratus dilaporkan bagi mereka yang berusia antara 12 hingga 19 tahun.

Encik Ong yang menjadi pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian ini menambah, negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel sudah membuka semula ekonomi mereka dengan jangkitan meningkat bagi golongan muda.

Ini adalah kerana mereka ke sana sini dan tidak ramai yang menjalani vaksinasi. Namun, kadar mereka yang memasuki hospital, mengalami penyakit serius agak mantap tetapi kebanyakan daripada mereka masih lagi warga emas.

"Ini bukan kes di mana warga emas akan mengatakan, "Saya tak keluar, jadi saya selamat'. Bukan kerana itu tetapi kerana kini, apabila kita melihat bentuk jangkitan dan kes kita, kebanyakan daripada jangkitan ini sebenarnya berlaku di rumah...jadi ia bukan kes di mana anda tak keluar rumah lantas selamat sebab apabila kita membuka semula pergerakan masyarakat kita, anggota keluarga anda mula keluar dan bawa pulang virus itu," tambahnya.

Pihak berkuasa akan menjalankan usaha lebih menggalak dan mendekati warga emas, mengetuk pintu mereka jika perlu, tambahnya.

"Ini adalah kerja yang kita perlu lakukan. Justeru, buat sesiapa sahaja, jika anda tahu tentang warga emas, jiran atau saudara-mara anda, yang masih lagi teragak-agak untuk jalani vaksinasi, diharapkan anda dapat mendekati dan memujuk mereka berbuat demikian," jelasnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg