SEORANG lelaki warga Mesir yang datang ke Singapura bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, seorang warga Singapura, adalah antara 12 kes import jangkitan Covid-19 baru yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (21 Oktober).
Lelaki berusia 36 tahun yang memiliki pas lawatan jangka pendek itu tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.
MOH dalam kenyataan pada Rabu malam (21 Oktober) menambah, selain lelaki tersebut, sembilan kes import lain melibatkan pemegang permit kerja yang bertugas di Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan dari Indonesia, Myanmar dan Filipina.
Baki dua kes lain pula adalah pemegang pas tanggungan yang tiba di Singapura dari Arab Amiriah Bersatu (UAE).
Tiada kes jangkitan tempatan baru yang dikesan MOH.
Sementara itu, dua kes telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
MOH menambah terdapat sebanyak 43 kes masih di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan mantap atau kian pulih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg