Balu pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, Cikgu Sarinah Haniff, berpulang ke Rahmatullah pada 19 Oktober.
Dalam mesej yang dikirimkan oleh anak beliau, Cik Shahrulbariah Muhammad Ariff berkata ibu tersayangnya itu meninggal dunia pada sekitar 4.20 petang.
Jenazah Allahyarhamha Sarinah akan dikuburkan di Pusara Aman pada 20 Oktober, sekitar 9.30 pagi.
“Segala perhatian dan doa anda amat kami hargai, dan semoga Allah membalas budi baik anda.
“Mohon jasa baik semua untuk mendoakan agar Almarhumah ditempatkan bersama golongan yang beriman dan dikurniakan rahmat-Nya,” tulis Cik Shahrulbariah.
Suami Allahyarhamha, Dr Ariff, atau dikenali dengan panggilan mesra Cikgu Ariff, menghembuskan nafas terakhir pada Mac 2016.
Seorang tokoh sastera dan budayawan, Dr Ariff merupakan pengasas Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) bersama sekumpulan penulis Melayu. Beliau juga menerima banyak anugerah, termasuk Pingat Budaya bagi Kesusasteraan pada 1987 dan Pingat Bakti Setia pada 1989.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg