PELAJAR Sekolah Menengah Crest, Nurashikin Mohd Noor, 18 tahun sering kali tidak dapat pergi ke sekolah kerana terpaksa berada di rumah untuk menjaga ibunya yang uzur.
Nurashikin, seorang anak tunggal, kehilangan bapanya semasa beliau berusia tiga tahun.
Sejak di sekolah rendah lagi, Nurashikin berasa tugas utamanya adalah untuk menjaga ibu beliau, yang mengalami kencing manis dan juga diserang strok.
Lantas, beliau terkejut apabila berjaya lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan diterima memasuki sekolah menengah yang dimahukannya.
Namun, kisah yang sama berulang, dan beliau mengalami kesukaran mengikuti pelajaran kerana perlu menjaga ibunya.
"Hanya ada kami berdua... jadi keutamaan saya adalah untuk meluangkan masa bersama beliau. Saya hilang dorongan untuk belajar dan meskipun saya lulus peperiksaan sekolah menengah secara keseluruhan, saya tidak berminat pada gred saya," ujar beliau.
Semasa di sekolah menengah, Nurashikin terpaksa berpindah sekolah dua kali dan juga mengulangi Menengah Tiga kerana terlepas menghadiri kelas selama hampir setahun.
Ibunya meninggal dunia pada tahun lalu akibat penyakit yang dialaminya dan Nurashikin kini sedang menginap di tempat yang dikendalikan oleh agensi kebajikan.
Nurashikin, yang pemalu dan bersuara lembut, berkata beliau memerlukan masa yang lama untuk mengawal perasaan hiba selepas ibunya meninggal dunia.
Akhirnya, beliau memutuskan untuk menghadiri kelas secara tetap di Crest, sebuah sekolah menengah khas bagi pelajar Normal (Teknikal).
Guru-guru di sana dan rakan sekelasnya memberinya sokongan padu, kata Nurashikin, yang menerima anugerah bagi pencapaiannya di Program Amali Industri tahun ini.
Buat masa ini, Nurashikin berkata beliau kini telah menetapkan sasaran untuk menjadi seorang pekerja sosial - untuk membantu orang lain sepertinya yang memerlukan bantuan - sebagaimana beliau telah dibantu oleh agensi kebajikan selama ini.
Beliau juga telah menerima tawaran awal untuk melanjutkan pengajian di peringkat Nitec, dalam jurusan jagaan masyarakat dan khidmat sosial di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Selepas menerima keputusannya, Nurashikin terkenang semula kepada ibunya dan berkata:
"Saya rasa ibu saya akan berasa bangga kerana saya melengkapkan peperiksaan peringkat 'N'. Saya rasa beliau akan berasa gembira."
Hanya ada kami berdua... jadi keutamaan saya adalah untuk meluangkan masa bersama beliau. Saya hilang dorongan untuk belajar dan meskipun saya lulus peperiksaan sekolah menengah secara keseluruhan, saya tidak berminat pada gred saya. ...Saya rasa ibu saya akan berasa bangga kerana saya melengkapkan peperiksaan peringkat 'N'. Saya rasa beliau akan berasa gembira. - Nurashikin Mohd Noor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg