Bahasa Melayu merupakan bahasa ‘asing’ buat mereka, tetapi itu tidak menghalang dua individu bukan Melayu ini untuk jatuh cinta dan belajar bertutur bahasa tersebut.
Pengurus Pemasaran Digital, Encik Melvin Choo 35 tahun bertekad sertai kelas bahasa Melayu kerana ingin tahu makna di sebalik papan tanda jalan raya dan nama-nama stesen yang berbahasa Melayu.
Seorang lagi, pemandu pelancong Cik Berit Karlsen, 65 tahun yang asalnya dari Denmark terpaksa belajar bahasa Melayu apabila beliau bernikah dengan jejaka Singapura yang berketurunan Pakistan-Melayu untuk bertutur dengan ibu mentuanya.
Cik Karlsen atau selesa dengan panggilan Bibi Zaharah juga terpegun dengan budaya masyarakat Melayu yang suka berkumpul beramai-ramai dan suasana ini dapat dirasakannya sendiri dalam majlis perkahwinannya 37 tahun lalu.
“Perkahwinan saya dihadiri lebih 500 tetamu dan saya dapat rasakan budaya gotong-royong untuk menjayakan majlis kami di bawah kolong blok di kawasan Eunos.
“Duit salam yang diberi pula tergantung seikhlas hati, membantu membiayai perkahwinan itu. Yang penting semua orang ingin meraikan dan bergembira bersama.
“Kalau di Eropah, kami biasanya menjemput keluarga dan teman handai terdekat saja,” kata Cik Zaharah.
Walau apapun alasan mereka untuk belajar bahasa Melayu, yang ketara, mereka berdua merasakan kelebihan berbahasa Melayu dan dapat menggunakannya dalam bidang profesional mereka dan juga dalam konteks sosial.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg