BANGUNAN Pit perlumbaan kereta Formula Satu (F1) di Marina Bay sekarang diubah menjadi kemudahan perubatan bagi pesakit Covid-19.
Beberapa orang dilihat di bangunan itu semalam, dengan sesetengah mereka sedang melakukan kerja pada muka bangunan itu.
Ada daripada mereka memakai baju dengan perkataan "Security" (keselamatan) pada bahagian belakang.
Di dalam kemudahan itu, terdapat beberapa ratus katil yang sudah dipasang, dengan papan tanda menunjukkan stesen triaj ditampal di tembok dalam kawasan yang kelihatan seperti stesen pemeriksaan.
Dewan dalam bangunan itu juga dibahagikan kepada pelbagai seksyen, dengan katil yang setiap satu diberi angka berbeza.
Terdapat dua jenis kemudahan utama seperti itu yang disediakan buat pesakit Covid-19, iaitu Kemudahan Rawatan Covid-19 (CTF) dan Kemudahan Penjagaan Masyarakat (CCF).
CCF adalah bagi mereka yang didapati positif dijangkiti Covid-19 dan keadaan mereka rata-ratanya stabil tetapi mereka perlu diasingkan atas pelbagai sebab.
CTF adalah bagi pesakit yang rata-ratanya dalam keadaan stabil tetapi mengalami masalah kesihatan lain dan perlu dipantau dengan lebih rapat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg