GRAB sedang bekerjasama dengan Microsoft untuk membantu pemandu khidmat sewa privet berminat beralih ke jawatan pembangunan sofwe.
Ini akan dilakukan menerusi program latihan baru yang bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran peringkat permulaan.
Kededua syarikat juga menetapkan matlamat memperkukuh keupayaan digital hingga 5,000 pemandu sewa privet dan penghantar makanan menjelang akhir 2021.
Seramai 250 pelajar akan diberi latihan dalam kemahiran berhubung kecerdasan buatan (AI), dan Grab berkata ia bercadang mengambil pelajar yang menunjukkan kelakonan terbaik sebagai pekerja sepenuh masa, lapor The Business Times.
Kerjasama dengan Microsoft itu diumumkan oleh ketua eksekutif Grab, Encik Anthony Tan, yang juga pengasas bersama syarikat itu, di Forum Fortune Global semalam.
"Singapura buat sekian lama menjadi hab teknologi. Namun ini bukan bermakna kita hanya menarik bakat dan syarikat dari serata dunia untuk ke sini sahaja.
"Ia juga bermakna kita memperluas kemahiran orang kita di sini dan menaik taraf mereka juga," kata Encik Tan, bercakap kepada penonton yang mengikut forum itu di alam maya.
Pengumuman itu menyusuli kerjasama peringkat serantau antara Grab dan Microsoft yang diumumkan tahun lalu, yang bertujuan melatih mahasiswa universiti dan membuka laluan bagi pemandu berminat memburu kerjaya dalam bidang teknologi.
Program latihan bagi pemandu di Singapura akan dikendalikan oleh Politeknik Temasek dan merupakan sebahagian Program Kemahiran SGUnited.
Pelatih akan menjalani kursus selama lapan bulan merangkumi asas sains perkomputeran, pemprograman Java dan konsep pengalaman pengguna (UX) dan cara pengguna menggunakan sesuatu produk.
Keupayaan mereka berfikir secara kritikal dan kemahiran perhubungan akan diperhalusi menerusi simulasi di tempat kerja.
Pada akhir kursus, pelatih akan diundang memohon kerja di syarikat seperti Grab, Ninja Van dan Adecco.
Sekarang, pemandu dan penghantar Grab boleh mengikuti kurikulum pembelajaran elektronik Microsoft secara percuma, melalui GrabAcademy.
Lebih 439,600 sijil telah diberi GrabAcademy sejak Grab melancarkan kursus ini pada Februari lalu di Indonesia dan Vietnam.
Kursus ini akan diperluas ke Kemboja, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand menjelang pertengahan 2021.
Grab dan Microsoft juga sedang bekerjasama dengan Politeknik Singapura bagi program rintis yang bertujuan memupuk kemahiran AI dalam kalangan pelajarnya.
Pelajar terbaik akan ditawarkan peluang kenal suai kerja dengan Grab.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang turut menyertai perbincangan bersama Encik Tan, berkata membangun bakat di Singapura amat penting bagi masa depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg