SEMBILAN lelaki yang melemparkan objek ke arah seorang lelaki, yang menetak isterinya dengan pencincang di Beach Road, dipuji oleh polis semalam kerana membantu mangsa wanita yang cedera itu menangkis penyerangnya.
"Saya mendengar beliau menjerit: 'Selamatkan saya, selamatkan saya. Lengan saya sudah hilang!'," kata seorang daripada lelaki itu, Encik Wei Chen Xiang, yang berusia 32 tahun.
Beliau mengangkat kerusi dan membalingnya ke arah penyerang ketika mangsa menjerit meminta bantuan di luar restoran di mana beliau bekerja pada Khamis lalu.
Encik Wei, kakitangan dapur di restoran Zhong Hua Steamboat, memberitahu The Straits Times semalam bahawa mangsa, Cik Hu Hongli, 41 tahun, sedang memegang lengannya yang cedera.
Mangsa dikenalinya kerana bekerja di restoran di seberang Zhong Hua Steamboat itu.
Penyerang itu melarikan diri apabila pelbagai barang dilemparkan ke arahnya.
Encik Wei dan lapan lelaki lain, terdiri daripada kakitangan dapur di restoran berhampiran dan kontraktor yang bekerja berhampiran, kemudian bersatu untuk melindungi Cik Hu sebelum polis tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5.30 petang.
Anggota polis berjaya menahan penyerang dengan alat renjat, atau taser.
Seorang wanita, Cik To Lee Kwee, turut dipuji semalam kerana menghubungi polis. Beliau adalah antara beberapa orang yang memaklumkan kepada polis tentang kejadian itu.
Encik Wei berkata dalam bahasa Mandarin: "Saya takut apabila saya melihat kecederaan itu tetapi tidak ada masa untuk berfikir, kami tidak boleh membiarkan lelaki itu mendekatinya lagi."
Beliau berkata beliau mengambil kotak tisu berhampiran dan memberikannya kepada Cik Hu untuk merawat lukanya.
Kesembilan lelaki itu dan Cik To telah diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Central semalam atas peranan mereka dalam mencegah lelaki itu daripada menyebabkan kecederaan lebih teruk kepada Cik Hu semasa kejadian itu.
Cheng Guoyuan, 46 tahun, didakwa Sabtu lalu atas cubaan membunuh Cik Hu. Kedua-dua mereka difahamkan masih dirawat di hospital.
Polis dan hospital enggan memberikan maklumat lanjut mengenai keadaan Cheng dan Cik Hu kerana kerahsiaan pesakit.
Penolong Pesuruhjaya Polis, Encik Jeremy Ang Boon Sheng, yang menyampaikan anugerah itu, berkata individu terbabit bertindak dengan tidak mementingkan diri untuk membantu wanita berkenaan.
Para penerima anugerah ialah: Encik Jackie Tee; Encik Leonard Shi; Encik Lim Chee Kong; Encik Lei Hai Qiu; Encik Lim Chee Wei; Encik Lin Yong Ping; Encik Pan Xiao Shuo; Encik Zhang Dai; Encik Wei dan Cik To.
"Walaupun mereka sedar sepenuhnya bahawa lelaki itu bersenjata, keberanian luar biasa dan pemikiran cepat mereka dalam melangkah ke hadapan patut mendapat pengiktirafan dan pujian kami".


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg