Kelab Mendaki, atau MClub, merangkumi golongan profesional dan pelajar muda Melayu/Islam yang terlibat dalam hal ehwal umum berkaitan masyarakat, Singapura dan dunia. Kelab tersebut melibatkan diri dalam inisiatif pembangunan belia yang strategik dan mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan mengenai perkembangan semasa dalam arena tempatan dan global. Baru-baru ini, BERITA HARIAN mewawancara dua sukarelawan yang berkongsi pengalaman mereka memberi kembali kepada masyarakat melalui Kelab Mendaki.
KETIKA ramai pelajar lain di madrasah melanjutkan pelajaran mereka ke universiti luar negara di Malaysia atau Timur Tengah untuk meneruskan pengajian, Cik Amalina Abdul Nasir pula mempunyai idea lain untuk menceburi industri yang berbeza.
Beliau sebaliknya memburu ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan pengkhususan dalam sosiologi dan perhubungan korporat dengan tujuan untuk menceburi dunia sains politik.
Namun, setelah mengambil laluan yang berbeza beliau tidak mempunyai kumpulan bekas pelajar atau alumni daripada madrasah yang dapat menjadi mentor atau membimbing beliau dalam fasa awal kerjayanya.
Justeru, Cik Amalina berharap dapat menjadi pemangkin untuk lebih ramai golongan asatizah menyertai program sokongan kerjaya yang dikendalikan Kelab Mendaki untuk mahasiswa pengajian Islam yang ingin mencuba kerjaya dalam sektor bukan agama.
Mengulas mengenai perjalanannya sebagai seorang pelajar, Cik Amalina berkata ia memang mencabar.
"Ketika saya ingin menceburi bidang ini, saya terfikir untuk mencari seorang alumni untuk pelajari cabaran yang saya mungkin akan hadapi atau pun prospek kerjaya saya dalam masa akan datang.
"Dari segi ini saya rasa agak mencabar kerana saya harus melakukan penyelidikan sendiri.
"Saya tahu saya ingin menceburi bidang ini tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memasuki bidang ini kerana saya tidak mempunyai orang lain itu mendapatkan bimbingan," kata beliau, 27 tahun.
Justeru, bagi memastikan keadaan yang sama tidak berlaku kepada generasi muda pelajar madrasah, Cik Amalina mula mendekati program-program yang ditawarkan oleh Kelab Mendaki.
Antara program yang beliau sertai termasuk program pembimbing.
Bermula sebagai sukarelawan, penerima Anugerah Siswazah Teladan Kelab Mendaki 2017 itu hari ini merupakan Pengarah Re:Work, Kelab Mendaki.
Lebih dikenali sebagai Graduates' Tea Kelab Mendaki (MClub) sebelum ini, Re:Work adalah program yang memberi tumpuan kepada pembangunan kerjaya dan membina rangkaian sepanjang hayat.
Menurut Cik Amalina, Re:Work juga mahu menghubungkan pelajar, graduan dan karyawan muda kepada perubahan dalam dunia pekerjaan.
Menekankan kepentingan ekosistem tersebut, Cik Amalina, seorang Pengurus Dasar Produk untuk Kandungan Grafik Keganasan di TikTok, berkata ia dapat menawarkan wadah yang selamat bagi anak muda Melayu/Islam untuk mengenali dengan lebih mendalam karyawan-karyawan muda setempat.
"Melalui program seperti ini, golongan belia kita berpeluang untuk berbincang serta bertemu dengan individu-individu yang mempunyai kedudukan dalam syarikat-syarikat korporat.
"Apabila mereka melihat, individu-individu ini, saya rasa ia dapat menjadi inspirasi bagi mereka," kata beliau lagi.
Tahun lalu, Re:Work telah mengadakan sebanyak 10 program yang disertai lebih 200 peserta.
Melihat golongan muda Melayu/Islam meraih manfaat daripada program yang ditawarkan, Cik Amalina melahirkan perasaan gembira dan puas dengan hasil yang dicapai sejauh ini.
"Akhirnya, apabila anda berjaya membantu orang lain mungkin dari segi peningkatkan kemahiran ataupun mendapat pekerjaan baru, saya rasa pekerjaan ini memberi saya kepuasan yang besar.
"Ini adalah sebabnya saya memilih untuk menjadi sukarelawan.
"Mungkin hasil bantuan kita bukan 'instant' atau serta merta, tetapi ia adalah sesuatu yang kita tidak berfikirkan pada awalnya," katanya. - NATASHA MUSTAFA
BIODATA
AMALINA ABDUL NASIR
Usia: 27 tahun
Pengurus Dasar Produk untuk Kandungan Grafik Keganasan di TikTok
PENDIDIKAN
- Sarjana di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) - Sarjana Muda di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam bidang Sosiologi dan Komunikasi Korporat - Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah
SUMBANGAN SUKARELAWAN
- Pengarah Re:Work, Kelab Mendaki - Ahli anggota Rangkaian Belia Asatizah (AYN) - Ahli, Belia MESRA


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg