Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantuan dihulur bagi wanita balik kerja
Bantuan dihulur bagi wanita balik kerja
Bantuan dihulur bagi wanita balik kerja
BAYANGKAN situasi di mana anda mencari pekerjaan selepas bertahun lamanya tidak bekerja.
Anda mahu kembali ke sektor pekerjaan lama tetapi segala pengetahuan dan kemahiran yang anda miliki sebelum ini sudah lapuk, menjadikan anda rasa 'ketinggalan'.
Kemudian, cara mencari pekerjaan juga telah berubah - ramai majikan kini memanfaatkan teknologi dan temu duga mungkin dilakukan secara maya - dan anda terkapai-kapai menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Perasaan bimbang dan tidak tentu arah ini mungkin dialami ramai wanita yang ingin kembali bekerja setelah sekian lama meninggalkan pasaran kerja dek tanggungjawab menjaga keluarga atau sebab peribadi lain.
Keyakinan mungkin terjejas, dan ada yang langsung tidak tahu di mana harus mula dapatkan pekerjaan.
Lantaran itulah, sokongan untuk menyokong lebih ramai wanita kembali ke alam pekerjaan kini kian rancak, dengan pelbagai rangkaian sokongan yang menyeluruh disediakan.
Antaranya, satu pasukan bertugas berbilang agensi yang ditubuhkan M Kuasa Tiga (M3) untuk mempertingkat daya kerja pekerja Melayu/Islam di tengah-tengah pandemik kini mengalihkan fokus kepada golongan wanita yang tidak bekerja dan pekerja ekonomi gig untuk meneroka cara terbaik merebut peluang pekerjaan baru.
Malah, inisiatif herCareer, atau Inisiatif Kerjaya Wanita, yang baru dilancarkan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) semalam merupakan satu lagi dorongan.
Ia menyediakan sumber dan khidmat kerjaya yang disusun khusus bagi wanita yang ingin kembali bekerja.
Sokongan yang disediakan itu bukan hanya membolehkan wanita yang mahu bekerja semula memperolehi peningkatan kemahiran dan pengetahuan baru yang relevan bagi pasaran kerja hari ini serta peluang kerja yang sedia ada, malah membantu memupuk keyakinan mereka memasuki semula alam pekerjaan.
Keputusan kembali ke alam pekerjaan tidak bererti tanggungjawab penjagaan mereka sudah selesai; ia bererti tanggungjawab mereka kini bertambah.
Justeru, pemerintah sedang menggalak aturan kerja fleksibel (FWA) dan amalan keadilan di tempat kerja untuk memperkasa lebih ramai wanita kembali ke alam pekerjaan.
Malah, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, baru-baru ini berkata FWA merupakan antara huraian terbaik yang berpotensi menarik wanita balik ke alam pekerjaan.
Namun, sedang usaha dijalankan di peringkat nasional dan masyarakat, keluarga juga perlu memainkan peranan sebagai pendorong dan penyokong kuat wanita.
Tanggungjawab penjagaan tidak terletak di bahu wanita sahaja dan harus dipikul sama rata oleh anggota keluarga yang lain.
Dengan adanya sikap saling membantu, barulah boleh wanita berjaya di tempat kerja dan juga di rumah, sekali gus membantu mempertingkat taraf kehidupan diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat dari sudut ekonomi dan juga sosial.
