Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banyak kedai di Chin Swee, Jalan Kukoh tutup

Sebuah pasar raya Sheng Siong ditutup dek seorang pekerja dijangkiti Covid-19, penduduk jalani ujian swab
Aug 16, 2021 | 5:30 AM
JALANKAN TANGGUNGJAWAB: Penduduk menghadirkan diri di kolong blok di tingkat empat Blok 9 Jalan Kukoh semalam untuk membuat ujian swab wajib bagi Covid-19. - Foto-foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM
JALANKAN TANGGUNGJAWAB: Penduduk menghadirkan diri di kolong blok di tingkat empat Blok 9 Jalan Kukoh semalam untuk membuat ujian swab wajib bagi Covid-19. - Foto-foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM -

SUASANA di estet perumahan Chin Swee Road dan Jalan Kukoh kelihatan sunyi sepi semalam, kecuali dua kolong blok yang dikunjungi penduduk dan pemilik serta kakitangan perniagaan di kawasan itu untuk melakukan ujian swab wajib bagi Covid-19 mereka.

Ini berikutan 15 kes koronavirus yang dilaporkan di tiga flat HDB di kawasan itu kelmarin.

Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin mengatakan bahawa ia sedang menjalankan siasatan mengenai penularan jangkitan Covid-19 yang mungkin berlaku di Blok 52 dan 53 Chin Swee Road, dan Blok 3 dan 9 Jalan Kukoh, yang terletak di seberang jalan.

Pusat prasekolah My First Skool di 54 Chin Swee Road juga telah membentuk kelompok Covid-19 setelah sejumlah 17 kes dilaporkan sehingga kelmarin.

Bagi mengekang penularan virus daripada terus merebak, MOH berkata semua penduduk, pemilik kedai dan kakitangan di blok yang terjejas perlu menjalani ujian swab wajib yang diadakan sejak pagi semalam.

Semasa lawatan Berita Harian (BH) ke estet perumahan Chin Swee Road dan Jalan Kukoh sekitar 10 pagi semalam, kebanyakan kedai dilihat tidak beroperasi.

BH difahamkan bahawa memang beberapa kedai lazimnya tidak dibuka pada Ahad, tetapi beberapa kedai lain ditutup kerana pemiliknya perlu menjalani ujian swab Covid-19.

Namun, pasar raya Sheng Siong Supermarket di Blok 52 Chin Swee Road, yang biasanya dibuka, tutup semalam selepas salah seorang kakitangannya dijangkiti Covid-19.

Notis di luar pasar raya itu mengatakan:

"Sejajar dengan garis panduan MOH, pasar raya kami ditutup untuk menjalankan pembersihan menyeluruh setelah seorang pekerja daripada pasar raya ini diuji positif bagi Covid-19. Pasar raya ini akan ditutup mulai 1 petang pada 14 Ogos 2021 dan akan beroperasi semula pada 7 pagi pada Isnin, 16 Ogos 2021."

Tidak jauh dari pasar raya itu, operasi ujian swab dijalankan di kolong blok antara Blok 51 dengan 53 Chin Swee Road semalam.

Antara penduduk yang ditemui menjalani ujian swab ialah pasangan ibu dan anak yang tinggal di Blok 52 Chin Swee Road, yang masing-masing ingin dikenali hnya sebagai Cik Siti dan Cik Nur.

Ditanya apakah mereka berasa bimbang kerana ada kelompok Covid-19 yang begitu dekat dengan rumah mereka, Cik Nur berkata:

"Saya tidak rasa begitu risau, tetapi lebih kepada rasa tidak bernasib baik. Jangkitan sekarang boleh berlaku di mana-mana. Setelah diberitahu supaya menjalani ujian swab wajib, kami buat sahaja, untuk pastikan kami diuji negatif bagi Covid-19."

Kededua mereka telah menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Cik Siti pula berkata: "Ada ramai warga tua ( berisiko tinggi dijangkiti Covid-19) tinggal di kawasan ini. Ada daripada mereka degil dan tak ikut peraturan. Bagi saya, itu lebih membimbangkan."

Satu operasi ujian swab wajib juga dijalankan di kolong di tingkat empat Blok 9 Jalan Kukoh semalam. Cik Siti Hafizah Mohamed Sani, penduduk blok itu, berkata beliau segera menjalani ujian swab itu demi menenangkan mindanya.

"Saya tentunya rasa risau sebab dengan kes semakin meningkat di kawasan ini, saya tidak tahu sama ada saya terdedah kepada virus itu ketika pergi ke kedai-kedai di sini.

"Lagipun, saya ada warga tua dan suami sakit. Jadi, lebih baik saya jalani ujian swab," ujarnya.

Di Pusat Makanan Kukoh 21, di depan Blok 9 Jalan Kukoh, kurang 10 gerai dilihat dibuka semalam.

MOH dalam kenyataannya kelmarin berkata semua kakitangan dan pekerja pembersihan di pusat makanan itu harus menjalani ujian swab wajib, sebagai langkah berjaga-jaga.

Antara gerai yang meneruskan operasinya semalam ialah Malay Muslim Cuisine. Pemiliknya, Cik Maimunah Samad, 67 tahun, berkata perniagaan beliau berkurangan sejak beliau mula beroperasi dua minggu lalu.

"Kalau dibandingkan hujung minggu lalu, minggu ini lebih lengang. Mungkin sebab ramai penduduk tidak keluar rumah (lepas ada kelompok Covid-19 di sini)," katanya.

Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, mengunjungi kededua premis operasi ujian swab pagi semalam untuk bertemu penduduk.

"Terus terang, saya agak terkejut melihat penduduk di sini dengan sendirinya turun untuk menjalani ujian swab, terutama warga tua.

"Ia menunjukkan bahawa warga Singapura semakin terbiasa dengan idea virus ini sebagai endemik," kata Dr Wan Rizal kepada BH.

"Semua orang harus memainkan peranan mereka dan saya gembira melihat mereka melakukan tanggungjawab sosial masing-masing."

Dari Muka 1

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg