WALAUPUN tinggal sebumbung, Encik Hassanuddin Mohamed dan anak bongsunya buat sementara ini tidak boleh berinteraksi dengan isteri dan dua anak lelakinya yang lain.
Anak lelaki bongsunya, Abdul Hannan Hassanuddin, 10 tahun, baru-baru ini dikesan sebagai kontak rapat kes Covid-19 daripada sekolahnya yang terletak di kawasan tengah Singapura dan diberi Perintah Kuarantin dari 9 hingga 16 September.
Encik Hassanuddin sebagai penjaga anaknya semasa kuarantin kini perlu mengasingkan diri dalam bilik tidur utama, memakai pelitup pada setiap masa, serta menjalani ujian Covid-19 menerusi kit Ujian Pantas Antigen (ART) kendiri yang mana keputusannya perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa setiap hari.
Gambaran itu dijangka senario lebih kerap dilihat sedang Singapura membenarkan lebih ramai pesakit Covid-19 yang layak dan sudah divaksinasi sepenuhnya untuk menjalani pemulihan di rumah mulai 15 September ini.
Meskipun tidak dikesan positif bagi Covid-19, Encik Hassanuddin berkata beliau menyambut baik langkah yang diperkenalkan kerana ia lebih mudah untuk pesakit dan juga kontak rapat terus menjalani kehidupan tanpa perlu dikuarantin di kemudahan pengasingan atau di tempat khusus yang lain.
"Dekat rumah, laptop ada, nak makan dan mandi senang, kerja boleh buat, anak pun boleh belajar. Kalau dekat tempat lain mesti bawa semua benda tu," kata Pengarah Penasihat Kewangan Singcapital itu ketika dihubungi semalam.
Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini mengumumkan bahawa pesakit Covid-19 yang layak seperti mereka yang tidak mengalami simptom atau menghidap simptom ringan akan diperlukan menjalani pemulihan di rumah mulai Rabu ini.
Skim itu akan diperluas sebagai protokol pengurusan utama secara berperingkat bagi pesakit Covid-19 yang sudah divaksinasi hingga usia 50 tahun dan tidak mempunyai gejala kesihatan atau penyakit lain.
Satu usaha perintis skim itu yang dimulakan pada 30 Ogos lalu dan membabitkan 21 pesakit menghasilkan keputusan yang menggalakkan, kata MOH.
Mereka yang layak adalah pesakit yang mempunyai bilik yang ada bilik air sendiri atau tinggal seorang diri dan mereka yang tidak tinggal dengan isi rumah yang mudah terdedah pada penyakit, termasuk warga emas berusia 80 tahun ke atas atau wanita hamil.
Isi rumah lain perlu divaksinasi sepenuhnya.
Perkhidmatan perubatan menerusi talian atau telemedicine sepanjang 24 jam akan terus ditawarkan dan mereka juga akan terima panggilan secara kerap untuk melaporkan keadaan serta lokasi.
Dalam video yang disiarkan MOH berkaitan skim tersebut, seorang bekas pesakit yang menjalani skim itu, Encik Raghuram, berkata skim itu bermanfaat kerana di rumah ada sokongan daripada keluarga memandangkan penyakit Covid-19 bukan sahaja menjejas kesihatan fizikal bahkan juga mental.
Seorang lagi bekas penyakit, Encik Rohim Jamal, yang dijangkiti pertengahan Julai lalu berusia 70-an tahun turut berpendapat sedemikian.
"Di rumah kita lagi selesa. Tidak seperti di hospital, kita boleh hilang keyakinan diri kita untuk pulih," kata penyelia pengurusan kondominium itu.
"Bahkan ia juga penting bagi kita jimatkan katil hospital dan memperuntuknya terutama bagi mereka yang lebih memerlukan, seperti yang menghadapi kesukaran bernafas atau menghidap simptom yang lebih serius."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg