SEBAGAI bapa kepada empat anak kecil, keselamatan dan kesihatan mereka tentunya menjadi keutamaan Encik Mohamed Firdaus Mohamed Salleh setiap kali pulang dari tugasan menguruskan pesakit Covid-19 di hospital.
Lantaran itu, Encik Mohamed Firdaus, 38 tahun, merasa yakin dan terlindung apabila menjadi antara orang pertama yang menerima vaksin Covid-19 semalam.
Jururawat staf kanan di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) itu bertugas di wad Unit Jagaan Rapi (ICU) menjaga pesakit penyakit berjangkit, dan kini menguruskan pesakit Covid- 19.
Semasa ditemui media selepas menjalani vaksinasi, Encik Mohamed Firdaus berkongsi bahawa perasaannya ghairah bercampur bimbang untuk mendapatkan vaksin itu.
Memandangkan beliau bertugas di kawasan berisiko tinggi, makanya vaksinasi itu memberinya tahap perlindungan dan keyakinan lebih tinggi dalam menjalankan tugasnya.
"Keseluruhan, saya merasa lebih ghairah kerana saya adalah antara yang pertama menerima vaksin ini.
"Ini memberi saya lebih banyak keyakinan sebab saya ada anak-anak kecil.
"Jadi dengan vaksin ini, saya merasa yakin dapat pulang ke rumah dengan selamat selepas menjaga pesakit Covid-19 dan saya dapat bermain-main dengan anak-anak tanpa bimbang saya akan menyebarkan apa-apa penyakit kepada mereka," kata beliau yang anak-anaknya berusia di antara hampir dua tahun dengan 12 tahun.
Encik Mohamed Firdaus juga mengaku memiliki sedikit keprihatinan apabila vaksin itu pertama kali diumumkan.
"Namun saya konfiden terhadap proses yang dijalankan oleh Penguasa Kesihatan dan Sains (HSA) dalam memastikan vaksin ini selamat diberikan kepada orang ramai," tambah beliau.
Justeru, Encik Mohamed Firdaus menggalak masyarakat Singapura supaya mengambil peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin itu serta memberi keyakinan bahawa ia selamat untuk semua.
"Semua warga Singapura harus cuba dan mendapatkan vaksin ini kerana kita perlu memainkan peranan untuk mengekang penularan Covid-19 di Singapura serta yakin dalam sistem kita," terang beliau lagi.
Sementara itu, individu pertama yang mendapat vaksin ialah Cik Sarah Lim, jururawat staf kanan NCID berusia 46 tahun.
Beliau yang merupakan sebahagian pasukan yang berhadapan kes-kes Covid-19 yang disyaki di Klinik J di Kawasan Keselamatan Khas NCID, merasa gembira dapat menerima vaksin itu.
"Suntikannya tidak sakit dan saya merasa lega menjalani vaksinasi dan terlindung daripada Covid-19... rasanya sama seperti suntikan vaksin selesema atau vaksin lain," tambahnya.
Turut melahirkan rasa beruntung menerima suntikan vaksin itu ialah Dr Kalisvar Marimuthu.
Konsultan kanan berusia 43 tahun itu menguruskan kes Covid-19 yang disyaki dan disahkan.
"Saya merasa amat beruntung... dan sedikit emosi kerana vaksin itu berpotensi mengubah segalanya," ujar Dr Marimuthu.
"Ia merupakan satu perjalanan jauh untuk kita tiba ke tahap ini, ia adalah perjalanan yang mencabar untuk kami.
"Vaksin telah menewaskan pandemik pada masa lalu... saya mengharapkan cahaya di akhir terowong yang mencabar ini," jelas beliau sambil berharap sejarah tidak akan berulang lagi.
Mengenai perasaannya menerima suntikan vaksin itu, Dr Marimuthu berkata:
"Saya sudah pun merasakan lebih baik dan lebih terlindung.
"Vaksin ini mungkin adalah lapisan perlindungan terakhir untuk kita."
Selepas menerima suntikan vaksin, para pekerja jagaan kesihatan itu diarahkan supaya berehat selama 30 minit di bilik pemerhatian, sambil dipantau doktor bertugas. Sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan, mereka perlu membuat laporan.
Mereka yang menerima vaksin itu akan menerima dos vaksin kedua pada hari yang ke-21, iaitu pada 20 Januari nanti.
Dalam pada itu, institusi jagaan kesihatan awam, termasuk hospital akut, hospital kemasyarakatan dan poliklinik serta hospital privet, akan secara progresif mengaturkan untuk kakitangan mereka menerima vaksin di premis masing-masing, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
"Keseluruhan, saya merasa lebih ghairah kerana saya adalah antara yang pertama menerima vaksin ini. Ini memberi saya lebih banyak keyakinan sebab saya ada anak-anak kecil. Jadi dengan vaksin ini, saya merasa yakin dapat pulang ke rumah dengan selamat selepas menjaga pesakit Covid-19 dan saya dapat bermain-main dengan anak-anak tanpa bimbang saya akan menyebarkan apa-apa penyakit kepada mereka." - Encik Mohamed Firdaus Mohamed Salleh, jururawat staf kanan di NCID.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg