Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa libat dalam kehidupan anak beri kesan positif berpanjangan

Aug 31, 2024 | 9:46 PM
Encik Hamzah Atan bersama anaknya, Cik Hamzilah Hamzah, semasa sesi persembahan di pertandingan ‘Jamming with Dad’, yang diadakan di Kelab Masyarakat Keat Hong sempena pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/Islam.
Encik Hamzah Atan bersama anaknya, Cik Hamzilah Hamzah, semasa sesi persembahan di pertandingan ‘Jamming with Dad’, yang diadakan di Kelab Masyarakat Keat Hong sempena pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/Islam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Seorang bapa yang melibatkan diri dalam kehidupan anak secara aktif akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Encik Zhulkarnain menggalak golongan bapa supaya mengambil tahu tentang peranan penting mereka dalam kehidupan anak-anak.

Beliau turut menggesa golongan bapa supaya kekal berhubung dengan anak-anak melalui perbualan yang bermakna dan penyertaan aktif dalam kegiatan mereka.

Beliau berkata demikian di pelancaran program sebulan, Bulan Kebapaan Melayu/Islam, pada 31 Ogos di Kelab Masyarakat Keat Hong.

Program itu memasuki tahun ketujuh, dianjurkan Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).

Tema program kali ini adalah kesedaran, yang menggalak golongan bapa supaya lebih sedar tentang peranan mereka.

“Sebagai seorang bapa kepada empat orang anak, saya memahami betapa pentingnya meluangkan masa bersama anak-anak kerana mereka mempunyai keperluan pembangunan yang tersendiri.

“Kadangkala, mereka ada cara komunikasi yang berbeza, ada mungkin melalui kegiatan bersama, luangkan masa bersama atau makan bersama.

“Ini antara perkara dan kenangan kami bersama, yang akan sentiasa diingati,” tambahnya.

Bulan Kebapaan, yang diadakan antara Ogos dengan September, dijangkakan mendekati lebih 3,500 bapa dan anggota keluarga.

Dalam kegiatan pertamanya pada 31 Ogos, satu pertandingan menyanyi,Jamming with Dad’, telah diadakan.

Ia menyaksikan beberapa kumpulan gandingan bapa dan anak.

Lima keluarga telah mempamerkan bakat muzik mereka untuk memenangi hadiah tiga tempat teratas.

Penerima pingat budaya dan biduanita, Rahimah Rahim, bertindak selaku juri jemputan bagi pertandingan itu.

Keluarga yang berjaya menarik perhatian juri adalah pasangan bapa dan anak, Encik Hamzah Atan, 52 tahun, dan Cik Hamzilah Hamzah, 30 tahun.

Melahirkan perasaan syukur, Encik Hamzah, seorang pembantu gudang, berkata memang impiannya untuk berkongsi pentas bersama anak sulungnya itu.

Memandangkan Cik Hamzilah sudah berumah tangga dan tidak lagi tinggal bersama bapanya, beliau berkata acara tersebut memberinya peluang mencipta kenangan baru.

“Saya berasa syukur dan berbesar hati dapat berkongsi pentas bersama bapa saya dan memenuhi impiannya.

“Lagi-lagi ketika beliau menyambut hari lahirnya bulan ini.

“Saya kini berumah tangga dan tidak tinggal bersama bapa saya, jadi saya gembira dapat mencipta kenangan baru ini dan luangkan masa bersama beliau,” ujar guru prasekolah itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg