MAHAL dan menyusahkan - itulah tanggapan pesakit mengenai pemeriksaan kolonoskopi untuk mengesan barah kolorektal.
Satu kajian yang dijalankan Hospital Universiti Nasional (NUH), Institut Barah Universiti Nasional (NCIS) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati tanggapan ini merupakan di antara penyebab utama untuk pesakit tidak menjalani prosedur tersebut.
Dari kajian itu, pesakit yang tidak menjalani kolonoskopi atau mendapatkan konsultasi susulan menganggap persiapan untuk prosedur itu, yang melibatkan pembersihan usus seperti mengambil ubat laksatif, adalah menyusahkan dan mungkin merupakan satu perbelanjaan yang mahal.
Menurut Profesor Madya Tan Ker Kan, Ketua dan Perunding Kanan di Jabatan Pembedahan Kolorektal di NUH, yang mengetuai kajian tersebut, pemeriksaan secara konsisten dapat bantu mengesan barah kolorektal di bahagian usus besar dan rektum di tahap awal dan senang dirawat.
"Pemeriksaan menggunakan kaedah ujian najis imunokimia (Faecal Immunochemical Test - FIT) dan kolonoskopi adalah penting kerana polip boleh dikesan dan dibuang sebelum menjadi barah."
"Apabila individu berisiko tinggi yang mempunyai keputusan ujian FIT positif tidak menjalankan perundingan susulan, para doktor tidak dapat membantu mereka merawat penyakit ini dengan berkesan," kata Profesor Tan.
Di Singapura, program pemeriksaan barah kolorektal kebangsaan, Screen for Life, menganjurkan ujian FIT sebagai salah satu ujian pemeriksaan untuk individu berusia 50 tahun ke atas, dan individu yang mempunyai hasil ujian FIT yang positif mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap polip dan barah berbanding mereka yang asimptomatik atau diuji negatif.
Sekiranya keputusan FIT adalah positif, individu-individu ini akan dirujuk untuk menjalankan pemeriksaan kolonoskopi susulan di hospital terdekat.
Kajian itu meninjau 394 pesakit berusia di antara 46 dan 89 tahun yang dirujuk ke NUH untuk konsultasi susulan dan pemeriksaan kolonoskopi dari 2017 sehingga 2019, dan telah menerima sekurang-kurangnya satu hasil ujian FIT yang positif.
Dr Shyamala Thilagaratnam, Pengarah Kumpulan (Jangkauan) di Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) mengatakan hasil dari ujian ini telah menguatkan apa yang diketahui mengenai halangan dan salah tanggapan mengenai pemeriksaan dan perundingan susulan.
"HPB akan terus bekerjasama dengan Persatuan Barah Singapura (SCS) dan rakan sistem kesihatan, seperti NUH, untuk mengatasi halangan ini dan mendorong individu-individu ini untuk membuat rawatan susulan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (SCS), Encik Albert Ching mengatakan bahawa SCS akan terus komited untuk mengurangkan barah dan memanjangkan kelangsungan hidup melalui pelbagai program pencegahan, seperti meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam mengenai pemeriksaan awal.
Tambah Encik Ching lagi, SCS sedang mempergiat usaha untuk mengedarkan kit FIT tanpa sebarang kos kepada warga Singapura dan Penduduk Tetap berusia 50 tahun ke atas.
Barah kolorektal merupakan salah satu barah utama di Singapura, dengan 2,000 individu menghidap barah ini setiap tahun. Dari 2013 sehingga 2017, 10,634 kes baru barah kolorektal dikesan di negara ini.
SEKILAS DAPATAN TINJAUAN
TINJAUAN melibatkan 394 pesakit berusia di antara 46 dan 89 tahun yang dirujuk ke NUH
- 53.8% peserta berusia 66 tahun. Sebahagian dari peserta merupakan peserta lelaki.
- Hampir kesemua peserta, atau 96.7%, dapati pemeriksaan dapat membantu mengesan barah lebih awal.
- 97.5% peserta berpendapat diagnosis awal akan tingkat kelangsungan hidup.
- 92.1% peserta setuju bahawa rawatan awal dapat kurangkan kos perubatan di masa hadapan.
Terdapat tiga tema dari hasil tinjauan ini:
1) Kesedaran yang tinggi mengenai barah kolorektal oleh individu berisiko sederhana
2) Tabiat mencari kesihatan didorong oleh tahap motivasi peribadi
3) Kepentingan sokongan sosial dan advokasi perubatan profesional
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg