LEBIH $72 juta telah digunakan isi rumah Singapura melalui baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dalam tempoh tiga bulan sejak skim itu dilancarkan.
Mendedahkan demikian semalam, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling mengatakan bahawa sekitar 1.2 juta isi rumah di sini telah menggunakan baucar CDC $100 mereka setakat ini.
Skim $130 juta itu telah dilancarkan pada 13 Disember tahun lalu untuk membiayai perbelanjaan harian dan menyokong peniaga dan penjaja yang terjejas oleh pandemik Covid-19.
Cik Low, yang berkongsi hal itu semasa Forum Perniagaan Belanjawan Singapura 2022 Lianhe Zaobao turut menambah bahawa lebih 15,000 penjaja dan penjual berada di bawah skim tersebut.
Beliau menambah bahawa satu lagi baucar CDC $100 akan diberikan kepada isi rumah warga Singapura tahun ini.
Skim baucar CDC telah dilancarkan pada Jun 2020 untuk membantu sehingga 400,000 keluarga berpendapatan rendah.
Baucar itu yang boleh dituntut secara digital boleh digunakan di kedai-kedai yang mengambil bahagian yang mempamerkan pelekat baucar CDC.
Pengguna hanya perlu klik pada pautan untuk memilih jumlah yang akan digunakan dan menunjukkan kod QR kepada pedagang, yang kemudiannya akan mengimbasnya menggunakan aplikasi RedeemSG Merchant.
Orang ramai boleh melihat perniagaan mana yang menerima baucar CDC melalui peta interaktif di laman web CDC Baucar Merchants Go Where.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg