LEBIH 300,000 warga Singapura telah memanfaatkan baucar SingapoRediscovers mereka untuk menempah bilik hotel dan melawat tempat tarikan sejak 1 Disember lalu.
Hingga Tahun Baru Jumaat lalu, tempahan berjumlah $35.9 juta dalam bentuk baucar dan bayaran telah dilakukan, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Beberapa tarikan juga ditempah sepenuhnya hingga minggu pertama tahun ini, termasuk S.E.A Aquarium dan HeadRock VR.
"Kami amat gembira mengenai minat yang ditunjukkan warga Singapura terhadap baucar SingapoRediscovers," kata STB, yang terus menggalak lebih ramai orang menggunakan baucar mereka sepanjang enam bulan ini.
Pada masa sama, ia mengingatkan orang ramai supaya memilih slot masa bagi tarikan atau pakej lawatan yang telah mereka tempah agar mereka dapat mengunjungi tempat-tempat itu pada masa yang diinginkan.
Beberapa tarikan memperkenal sistem slot waktu mengelak terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa. Jika pelanggan tidak memilih slot waktu, mereka mungkin dapat menukar tarikh lawatan atau mendapatkan wang pulang, menurut akhbar The Straits Times.
Namun, ia bergantung pada terma dan syarat yang ditetapkan tarikan itu serta pengaturan mereka dengan platform tempahan.
Dalam pada itu, dengan penutupan sempadan dan perjalanan udara terbatas dek pandemik Covid-19, pakej cuti inap (staycation) di hotel tempatan mendapat respons positif, dengan hotel yang dihubungi akhbar ini melaporkan kadar penghunian hampir 100 peratus.
Sepanjang cuti hujung minggu Hari Raya Haji dan Hari Kebangsaan tahun lalu, tiga hartanah kendalian The Ascott Limited beroperasi pada kadar penghunian hampir 100 peratus.
Permintaan baik itu berterusan semasa cuti Krismas lalu dan dan Tahun Baru, dan pada tahun ini, sedang lebih ramai warga Singapura menggunakan baucar SingapoRediscovers.
Demikian yang dikongsi Pengarah Urusan bagi Asia Tenggara, The Ascott Limited, Encik Ervin Yeo, bersama Berita Harian. Syarikat itu mengendalikan hartanah, antara lain, lyf Funan Singapore, Ascott Orchard Singapore dan Ascott Raffles Place Singapore.
"Kami menyaksikan permintaan tinggi di hartanah kendalian kami yang menawarkan pengalaman cuti inap dan mereka dijangka beroperasi pada kadar penghunian hampir 100 peratus semasa musim perayaan Krismas dan Tahun Baru.
"Kami menjangka permintaan cuti inap terus meningkat sedang lebih ramai warga Singapura menggunakan baucar SingapoRediscovers dan lebih terbuka menerima idea pengalaman percutian tempatan," ujar Encik Yeo.
Menurutnya, Ascott telah melancarkan beberapa promosi bagi waktu terhad dengan harga bermula $90 semalam. Warga Singapura boleh memanfaatkan promosi itu dengan menggunakan baucar SingapoRediscovers mereka dan membuat tempahan bilik melalui laman Trip.com, Klook atau Traveloka.
Dengan fasa ketiga pembukaan semula ekonomi Singapura sedang jangkitan Covid-19 di negara ini semakin reda, ia akan membantu perniagaan, lebih-lebih lagi kerana lebih ramai orang boleh berkumpul dalam sesebuah kumpulan, tambah Encik Yeo.
"Kemasukan Singapura ke fasa ketiga untuk meningkatkan ekonomi melalui peningkatan had kapasiti bagi perhimpunan sosial di tempat-tempat seperti pusat beli-belah dan tarikan akan membantu perniagaan dan keyakinan pengguna... dan kami harap ia dapat membantu memacu sektor hospitaliti," ujar beliau.
Dengan lebih ramai orang dibenarkan berkumpul - daripada lima di bawah fasa kedua kepada lapan orang sekarang - cukup sesuai bagi keluarga atau sahabat-handai melakukan cuti inap di apartmen diservis, atau serviced apartment, luas di Ascott Orchard Singapore, Ascott Raffles Place Singapore dan lyf Funan Singapore, yang lengkap dengan dapur kecil, atau kitchenette.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg