Bayi berusia setahun antara kes import Covid-19 di Spura
Bayi berusia setahun antara kes import Covid-19 di Spura
SEORANG bayi, berusia setahun dan seorang kanak-kanak kecil berusia dua tahun yang tiba di sini dari India merupakan antara 22 kes koronavirus yang disahkan pada Isnin (11 Jan)
Kededua perempuan, bayi itu merupakan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek manakala kanak-kanak kecil itu merupakan pemegang pas tanggungan.
Mereka tidak menghidap simptom dan disahkan positif Covid-19 pada Ahad lalu, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada malam Isnin.
Kesemua kes baru Covid-19 pada Isnin merupakan kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di sini mencecah 58,929 kes.
MOH juga berkata, terdapat lagi dua kes yang mempunyai kaitan dengan kelompok jangkitan kapal NewOcean 6 dan kini mencatatkan 11 kes positif secara kumulatif.
Dua kes baru itu merupakan kru pelaut yang telah bertugas di kapal berkenaan.
Mereka dikesan sebagai kontak rapat satu kes yang disahkan sebelum ini dan sudah dikuarantin pada 31 Dis lalu. Mereka diuji positif koronavirus pada Ahad.
Selain itu, kes import lain membabitkan dua warga Singapura dan dua Penduduk Tetap (PR) yang tiba di sini dari India.
Juga terdapat 10 pemegang permit kerja, termasuk dua pembantu rumah asing yang tiba di sini dari Bangladesh, India dan Indonesia dalam kalangan kes jangkitan baru pada Isnin.

