Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi meninggal dunia selepas ditemui tidak sedar diri

Aug 29, 2023 | 4:46 PM
DITEMUI TIDAK SEDARKAN DIRI: Bayi berusia 26 hari ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5 Mac.
DITEMUI TIDAK SEDARKAN DIRI: Bayi berusia 26 hari ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5 Mac. - Foto fail

Seorang bayi berusia 26 hari ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 11 pagi pada 5 Mac dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH) sekitar 90 minit kemudian.

Punca kematian bayi itu, Nur Shaynda Mohamed Yatiman, tidak dapat ditentukan selepas siasatan dijalankan dan pihak polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Membentangkan dapatannya pada 22 Ogos, Koroner Negara, Encik Adam Nakhoda, mencatatkan keputusan kes itu sebagai terbuka dan menambah:

“Berdasarkan fakta, Shaynda telah ditemui tidak sedarkan diri dalam katil bayi tanpa sebarang bukti yang menunjukkan dia dihempap sebarang objek.

“Tiada bukti yang menyarankan mukanya berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan dia lemas.”

Seorang doktor menyimpulkan bahawa berdasarkan faktor seperti tiada kecederaan pada tubuhnya, punca kematian bayi tersebut tidak dapat ditentukan, dengan kemungkinan tinggi ia berpunca daripada serangan jantung secara tiba-tiba.

Dokumen mahkamah merujuk kepada bapa Shaynda sebagai Encik MY. Pada masa kejadian, beliau merupakan teman lelaki ibu bayi tersebut, yang dikenal pasti sebagai Cik SS.

Shayna bukan bayi pertama wanita tersebut yang meninggal dunia ketika masih bayi. Seorang lagi anaknya meninggal dunia pada usia empat bulan pada 2012.

Selepas menerima panggilan kecemasan pada hari kejadian, Sarjan Nur Liyana Rahmat dan kru ambulansnya tiba di rumah pasangan tersebut sekitar 11.40 pagi.

Sarjan Nur Liyana berkata bibir bayi tersebut kelihatan biru dan beliau sukar bernafas.

Bayi itu dikejarkan ke CGH dan disahkan meninggal dunia sekitar 12.40 tengah hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg