
BERSUARA secara bebas di Parlimen merupakan satu keistimewaan penting dalam demokrasi berparlimen seperti Singapura, tetapi ia mesti dilakukan dengan bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan, kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, semalam.
Dengan Anggota Parlimen (AP) bebas memberi pandangan secara terus terang, mereka boleh menimbulkan isu kepentingan awam dengan rasa selamat dan dilindungi daripada prosiding sivil atau jenayah.
"Tetapi memandangkan ia satu keistimewaan yang begitu penting, ia juga mesti digunakan secara bertanggungjawab dan tidak boleh disalahgunakan.
"Ini termasuk keperluan untuk bersikap jujur dan keupayaan membuktikan perkara yang diperkatakan di Parlimen, atau mana-mana jawatankuasa Parlimen.
"Satu lagi aspek dalam demokrasi berparlimen ialah jangkaan terhadap Anggota Parlimen untuk bertindak secara terhormat dan menghormati proses Parlimen sebagai sebuah institusi, dan tidak bertindak dengan cara yang akan menjejaskan (Parlimen) atau tugas jawatankuasanya," katanya.
Cik Indranee berkata demikian di permulaan perbahasan mengenai dua usul yang difailkannya berkaitan laporan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) Parlimen mengenai isu pembohongan mantan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, di Parlimen.
Laporan itu, yang dikeluarkan Khamis lalu, telah mengesyorkan agar Cik Raeesah didenda, dan agar Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, dirujuk kepada pendakwa raya bagi kemungkinan dikenakan tuduhan jenayah.
Usul pertama menyarankan Dewan agar menyokong dapatan jawatankuasa itu bahawa Cik Raeesah telah menyalahguna keistimewaan Parlimen dengan berbohong pada Ogos dan Oktober tahun lalu, serta cadangan supaya beliau didenda $35,000.
Usul kedua pula mengesyorkan Parlimen menyokong saranan merujuk Encik Pritam serta naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap, kepada pihak pendakwa raya.
Pada 3 Ogos lalu, Cik Raeesah mendakwa telah menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, di mana seorang pegawai polis didakwa menangani perkara itu secara tidak sensitif dan menyebabkan mangsa menangis.
Cik Raeesah mengulangi pembohongan itu pada 4 Oktober.
Beliau telah meletak jawatan sebagai AP dan sebagai anggota parti itu.
Perkara itu dirujuk kepada COP yang setelah mendengar keterangan Cik Raeesah dan saksi lain termasuk pemimpin WP, membuat kesimpulan bahawa Cik Raeesah harus didenda $25,000 bagi pembohongan pertamanya.
Bagi tindakan mengulangi pembohongan tersebut, jawatankuasa itu mencadangkan denda $10,000 kerana ia berpendapat Cik Raeesah kemudian bertindak di bawah bimbingan tiga pemimpin parti itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg