Topic followed successfully
Go to BHkuBeberapa masjid dibuka 24 jam pada 10 malam terakhir Ramadan
Beberapa masjid dibuka 24 jam pada 10 malam terakhir Ramadan
Beberapa masjid dibuka 24 jam pada 10 malam terakhir Ramadan
- Langkah benarkan jemaah beriktikaf sebelum sertai program qiamullail
- Julung-julung kali diadakan dalam bulan puasa selepas tiga tahun gara-gara Covid-19
BEBERAPA masjid setempat akan mula membuka masjid sepanjang 24 jam mulai Selasa malam (11 April) bagi membolehkan jemaah beriktikaf dan melalukan qiamullail sempena 10 malam terakhir Ramadan.
Beriktikaf atau duduk di dalam masjid dengan niat bermunajat kepada Allah mula dibenarkan sejak sekatan dan langkah keselamatan berkaitan penularan Covid-19 ditiadakan.
Beberapa masjid, antaranya Masjid Al Ansar dan Masjid Sultan, telah mula membenarkan jemaah beriktikaf sejak akhir tahun lalu, buat julung-julung kalinya, selepas tiga tahun ekoran wabak itu.
Seorang jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), apabila ditanya mengenai perkara itu, menjelaskan bahawa masjid-masjid setempat sudah boleh menawarkan kegiatan iktikaf sejak langkah-langkah dan sekatan untuk menyekat penularan Covid-19 ditiadakan pada Mei 2022.
Menurutnya, Muis memberi kebebasan kepada lembaga pentadbir masjid (LPM) mengadakan kegiatan iktikaf dan qiamullail selagi ia mempunyai sumber-sumber berbuat demikian, seperti kakitangan menguruskannya dan dana untuk menyediakan keperluan lain seperti kemudahan bersahur.
Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha, pengurus kanan Masjid Sultan, berkata masjid ikonik Singapura di Kampong Glam itu akan mula dibuka untuk iktikaf dan qiamullail mulai 10 malam terakhir Ramadan dari 12 hingga 21 April.
"Kami sudah mula mengadakan kegiatan iktikaf secara bulanan sejak akhir tahun lalu apabila langkah-langkah keselamatan berkaitan Covid-19 ditiadakan.
"Namun, bagi Ramadan tahun ini, ini kali pertama kami membuka masjid sepanjang 24 jam dan mengadakan iktikaf.
"Kami menjemput orang ramai menggunakan peluang ini untuk datang ke masjid mencari lailatulqadar dengan beribadat, melakukan solat malam dan menyertai program yang telah diaturkan," kata Ustaz Dr Mohamed Qusairy.
Masjid Al Ansar di Bedok juga akan mengadakan qiamullail sempena 10 malam terakhir Ramadan mulai Rabu.
"Jemaah boleh mula beriktikaf di Masjid Al Ansar pada Selasa malam," terang Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam masjid itu.
Beliau menambah bahawa "Muis ada berkongsi bahawa iktikaf dibolehkan dan terpulang pada pihak masjid mengendalikannya".
"Ramadan ini, masjid akan dibuka sepanjang 24 jam bagi tujuan iktikaf pada 10 malam terakhir, dan juga pada tarikh-tarikh tertentu yang diadakan qiamullail bulanan.
"Pada tahun ini, masjid pernah mengadakan qiamullail bulanan, yang menyaksikan ia dibuka untuk iktikaf sekali.
"Kali terakhir iktikaf diadakan pada 29 Januari 2023. Tarikh-tarikh akan datang akan diumumkan di media sosial," kata beliau sambil menambah bahawa kali terakhir Masjid Al Ansar membenarkan iktikaf di masjid dalam Ramadan adalah pada 2019 sebelum pandemik Covid-19.
Menurut Ustaz Muhammad Imran lagi, kalau sebelum Covid dulu, sekitar 150 hingga 250 jemaah hadir untuk qiamullail tetapi tahun ini ia menganggarkan antara 250 dengan 350 orang akan menyertai program tersebut yang diadakan di masjid itu.
Secara ringkas, kata beliau, acara qiamullail bermula dari 3.30 pagi dengan solat malam lapan rakaat dan witir tiga rakaat. Ia disusuli aturcara bersahur beramai-ramai dan kemudian solat subuh.
"Setelah beberapa tahun iktikaf dan bermalam semasa Ramadan tidak dapat dilakukan di rumah Allah, rebutlah peluang kali ini untuk menunaikan qiamullail beramai-ramai," ujar beliau.
Sebuah lagi masjid yang turut membuka pintunya sepanjang 24 jam selepas tiga tahun ialah Masjid En-Naeem di Hougang.
"Masjid En-Naeem tidak menutup pintunya kepada sesiapa sahaja yang hendak beriktikaf dan berehat sebelum menyertai program qiamullail yang diadakan.
"Kami menjangka antara 300 dengan 500 jemaah menyertai program qiamullail kami dengan sekitar 100 jemaah akan memanfaatkan kebenaran beriktikaf.
"Biasanya yang datang beriktikaf tidak mengira golongan usia. Kalau sebelum Covid-19 dulu, pelajar sekolah pun datang beriktikaf dengan membawa pakaian sekolah. Selesai subuh, mereka terus pergi ke sekolah," kata Ustaz Muhammad Khairani Basiran, Ketua Dakwah Masjid En-Naeem.
Namun, tidak semua masjid menawarkan peluang beriktikaf, antaranya Masjid Yusof Ishak di Woodlands.
"Kami ada mengadakan program qiamullail tetapi masih belum membenarkan jemaah beriktikaf," ujar Ustaz Muhammad Idris Rifaie, pegawai dakwah Masjid Yusof Ishak.


