Sebilangan sekolah mengurangkan aktiviti luar apabila PM2.5 sejam mencapai tahap sangat tinggi di barat Singapura pada petang 14 Oktober.

Sekolah Tinggi Maris Stella misalnya membatalkan aktiviti sukan luar, manakala Sekolah Tinggi Nan Hua berkata ia membatalkan sekurang-kurangnya satu Kegiatan Kokurikulum (CCA).

CHIJ (Kellock), sebuah sekolah rendah, memaklumkan ibu bapa pada 14 Oktober bahawa semua aktiviti luar, termasuk pelajaran pendidikan jasmani (PE) dan bermain di luar, akan digantung pada 15 dan 16 Oktober.

Semasa waktu rehat, murid yang membawa bekal makanan akan makan di dalam bilik darjah. Murid yang membeli makanan di kantin atau menempah makanan terlebih dahulu pula akan kembali ke bilik darjah selepas makan, kata sekolah itu di Parents Gateway.

Bacaan PM2.5 satu jam bagi kawasan barat Singapura mencapai 288 pada 3 petang, dan 251 pada 4 petang (14 Oktober). Bacaan PM2.5 setiap jam melebihi 250 menunjukkan kepekatan zarah halus yang sangat tinggi di udara.

Pada tahap sedemikian, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar untuk sejam berikutnya. 

Kumpulan yang mudah terjejas, termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan mereka yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik, dinasihatkan supaya mengelak aktiviti luar sepenuhnya.

Ramalan Indeks Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal dalam julat tidak sihat.

Menurut laman web Kementerian Pendidikan (MOE), sekolah perlu menyesuaikan tahap dan jenis aktiviti berdasarkan bacaan PM2.5 setiap jam, yang boleh berubah-ubah sepanjang hari.

Dalam hantaran Facebook pada 10 Oktober, Menteri Pendidikan Encik Desmond Lee berkata pelajaran dan peperiksaan kebangsaan diteruskan di ruang tertutup yang dilengkapi pembersih udara. Sekolah juga bersedia mempertingkat langkah jika perlu.

Jika ramalan hari berikutnya memasuki julat berbahaya dengan PSI 24 jam melebihi 300, MOE mungkin menimbangkan penutupan sekolah dan penangguhan peperiksaan kebangsaan, tambah Encik Lee.

“Sebarang keputusan untuk menutup sekolah akan diumumkan sekitar 8 malam pada hari sebelumnya melalui sekolah dan saluran rasmi MOE,” katanya.

“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti setiap hari dan menilai sama ada sekolah patut dibuka atau ditutup pada hari berikutnya.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti