Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa warga S’pura dakwa disoal, Imigresen M’sia tegaskan tiada larangan selagi ada pas sah

Mereka dakwa diberitahu perlukan visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)
Jun 16, 2024 | 5:30 AM
Pasangan suami isteri, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Muna dan Encik Kas, memeriksa rakaman video halaman rumah teres mereka di Johor Bahru. Mereka tidak lagi ulang-alik ke JB setelah mendakwa diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.
Pasangan suami isteri, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Muna dan Encik Kas, memeriksa rakaman video halaman rumah teres mereka di Johor Bahru. Mereka tidak lagi ulang-alik ke JB setelah mendakwa diberi amaran untuk tidak berbuat demikian. - Foto BM oleh KHALID BABA

Beberapa warga Singapura yang memiliki rumah di Johor Bahru (JB) dan kerap berulang-alik Singapura-JB mendakwa telah disoal dan diberi amaran oleh pegawai bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di JB untuk tidak berbuat demikian.

Warga Singapura berkenaan berkata mereka diberitahu mereka memerlukan visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk berbuat demikian.

Namun, menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata jabatan itu tidak mengeluarkan arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warga Singapura, selagi individu itu memenuhi syarat termasuk pasport cukup tempoh sah dan mempunyai pas yang sah.

Berkongsi kepada BM baru-baru ini, empat warga Singapura berkata mereka disoal oleh pegawai imigresen di JB mengenai tujuan perjalanan setelah berulang-alik secara harian apabila melewati kaunter imigresen sebelum mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.

Warga Singapura, Encik Mohamed Kassim Yusoff, 71 tahun, berulang-alik antara Singapura dengan JB hampir setiap hari setelah membeli rumah teres di Taman Nusa Indah pada 2010, tetapi mendakwa mula disoal pegawai imigresen Malaysia pada 2019.

“Pegawai tanya apa tujuan kami ulang-alik dan sebagainya,” katanya, yang akhirnya mengambil keputusan menjual rumahnya pada 2023.

Sementara itu, pasangan suami isteri yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Muna dan Encik Kas, yang mempunyai rumah teres di Taman Mount Austin, mendakwa telah diberi amaran pegawai Malaysia agar tidak berulang-alik antara JB dengan Singapura setiap hari.

Untuk berbuat demikian, mereka dinasihati supaya memohon pas pemastautin di bawah Program MM2H.

Pas itu membolehkan warga asing menetap di Malaysia untuk jangka panjang.

Antara syaratnya, pemohon perlu mempunyai deposit simpanan tetap berjumlah sekurang-kurangnya RM500,000 ($143,480).

Dalam responsnya kepada BM, Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, berkata:

“JIM tidak pernah mengeluarkan arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warganegara Singapura selagi mana individu tersebut tidak tergolong dalam syarat Imigran Larangan, pasport cukup tempoh sah laku dan mempunyai pas yang sah.”

Datuk Ruslin menambah: “Jika benar ada individu yang terlibat dikenakan larangan untuk keluar masuk secara harian sebagaimana didakwa, mereka boleh membuat aduan secara rasmi terus kepada JIM Negeri Johor.”

Warga Singapura yang mempunyai kediaman di seberang Tambak berharap pencerahan yang lebih terperinci dapat diberikan dan maklumat itu mudah diakses.

Pekeliling terkini Prosedur Visa dan Keperluan Kemasukan ke Malaysia yang dikeluarkan Divisyen Imigresen, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, dikemas kini pada Februari 2024, menyatakan pemegang pasport Singapura secara umum diberi Pas Lawatan Sosial bagi tujuan pelancongan, antara lain, untuk masuk ke Malaysia.

Namun demikian, pekeliling sebelum ini yang bertarikh Mac 2023, menyatakan bahawa Pas Lawatan Sosial tidak boleh digunakan untuk berulang-alik setiap hari.

Malah, pekeliling itu menjelaskan pas tersebut tidak boleh digunakan untuk menetap di Malaysia bagi tempoh maksimum atas tujuan tinggal bersama keluarga atau rakan, atau menyewa/membeli hartanah di Malaysia.

Apabila BM memeriksa pekeliling yang dikemas kini pada Februari 2024, peraturan tersebut tidak lagi tertera.

Jawapan JIM tidak menyatakan jenis pas apa yang perlu digunakan warga Singapura untuk tinggal di Malaysia dan berulang-alik Singapura setiap hari.

Bagaimanapun, Peguamcara dan Peguambela Imigresen, Cik Niki Lim Hui Min, dari Tam Yuen Hung & Co di Kuala Lumpur, berkata mana-mana warga asing yang ingin tinggal di Malaysia untuk tempoh masa panjang umumnya perlu memiliki visa, permit atau pas yang sah.

“Tetapi yang paling sesuai biasanya adalah MM2H atau Program Visa Premium (PVIP). Bagaimanapun, setiap pengembara perlu menjalankan penelitian dan Jabatan Imigresen mempunyai budi bicara akhir untuk membuat keputusan,” katanya.

Pesan Cik Lim, jika ada pengembara yang berasa mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan, mereka boleh membuat aduan terus kepada JIM supaya tindakan lanjut segera boleh diambil.

“JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) tidak pernah mengeluarkan arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warganegara Singapura selagi mana individu tersebut tidak tergolong dalam syarat Imigran Larangan, pasport cukup tempoh sah laku dan mempunyai pas yang sah.”
 Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg